Gambar hiasan
Gambar hiasan
Yusmizal Dolah Aling


PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.23 Chini bakal mencatat sejarah apabila menjadi PRK pertama diadakan ketika negara berjuang mengekang pandemik Covid-19.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata, PRK itu yang akan diadakan pada 4 Julai disusun supaya patuh prosedur operasi standard (SOP) yang mengelak penularan wabak.

Antara cadangan SOP ialah jumlah maksimum pemilih setiap saluran ditetapkan 400 orang berbanding 600 orang sebelum ini, selain memasukkan kad masa keluar mengundi untuk penjarakan sosial dan elak kesesakan.

"Kita sudah berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis berhubung pelaksanaan SOP ini.

"SPR juga bertanggungjawab memastikan proses PRK DUN Chini selari langkah kawalan penyebaran Covid-19, sebagaimana dinasihatkan KKM.

"Penelitian lanjut SOP pilihan raya sedang dilakukan dan ia akan dimuktamadkan secepat mungkin bagi pemakaian pada PRK kali ini," katanya pada sidang media, hari ini.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 7 Mei lalu akibat serangan jantung.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, sebanyak RM14.3 juta diperuntukkan untuk pilihan raya kecil itu, yang diuruskan 832 petugas selain, pembukaan 14 pusat mengundi dengan 66 saluran.

Bagi memastikan aktiviti kempen terkawal selaras Perintah Kawalan Pergerakan, katanya, tiga Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) dibentuk yang dianggotai polis, pihak berkuasa tempatan dan wakil calon bertanding.

"SPR akan menggunakan dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan untuk penamaan calon yang ditetapkan pada 20 Jun dan proses penjumlahan rasmi undi," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Pekan Datuk Zaliza Zulkipli dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan akan dibantu empat orang penolong pegawai pengurus.

Beliau meminta bakal calon bertanding supaya membuat semakan awal dengan SPR bagi melancarkan proses.

Permohonan untuk mengundi pos bagi pengundi dalam dan luar negara dibuka hari ini dan akan ditutup pada 18 Jun.

Berita berkaitan:

  • PRK Chini 4 Julai ini
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 1:22 PM