Noorzainy (kiri) bersama pegawai dan anggotanya memeriksa mayat wanita warga emas yang ditemui mati dibunuh di sebuah rumah dekat Lahar Kepar, Kepala Batas malam tadi. Foto Ihsan PDRM
Noorzainy (kiri) bersama pegawai dan anggotanya memeriksa mayat wanita warga emas yang ditemui mati dibunuh di sebuah rumah dekat Lahar Kepar, Kepala Batas malam tadi. Foto Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad

WANITA warga emas meninggal dunia disyaki dibunuh anak perempuannya sendiri yang dipercayai mengalami masalah sakit mental di sebuah rumah dekat Lahar Kepar di Kepala Batas malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa yang berusia 90 tahun didatangi anak perempuannya berusia 53 tahun yang dikatakan tidak berpuas hati dengannya.

Berlaku pertengkaran antara mereka sebelum muka wanita warga emas itu dihentak dengan objek tumpul.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian terdapat cucu perempuan mangsa yang juga anak suspek berusia 16 tahun di rumah itu.

Menurutnya, remaja berkenaan dikatakan terdengar pertengkaran antara ibu dan neneknya itu.

"Dia berada dalam bilik kerana ibunya melarang dia keluar namun dia terdengar ibunya mengugut mahu membunuh neneknya sambil terdengar bunyi barang jatuh.

"Dia yang ketakutan kemudiannya menghubungi sepupunya untuk meminta bantuan sebelum bertindak keluar melalui pintu belakang rumah tetapi tidak nampak neneknya kerana gelap memandangkan lampu tidak dinyalakan manakala ibunya pula berada di luar rumah.

"Tidak lama kemudian ibu saudaranya yang juga anak bongsu neneknya pergi ke rumah itu dan terkejut apabila menemui ibunya sudah tidak bernyawa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, anak bongsu mangsa kemudiannya menghubungi petugas perubatan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.

"Ahli keluarga mangsa memaklumkan suspek mempunyai masalah penyakit mental dan masih menjalani rawatan psikiatrik.

"Suspek dan mangsa dikatakan kerap bergaduh kerana perselisihan faham," katanya.

Menurutnya, mayat warga emas berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat dan suspek pula dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan mental sebelum polis menahannya bagi siasatan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 11:35 AM