NEELOFA akui Aidilfitri kali ini begitu berbeza.
NEELOFA akui Aidilfitri kali ini begitu berbeza.

MAKNA Aidilfitri bukan sekadar kembali kepada fitrah asal atau bersuka ria semata-mata sebaliknya membawa pengertian rasa syukur kepada Allah SWT atas kemenangan besar selepas menjalani ibadat puasa sebulan Ramadan.

Bagi figura jelita yang kini melewati usia 31 tahun, Neelofa mengakui Aidilfitri membawa pengertian berbeza buat dirinya saban tahun dalam mendidik jiwa menjadi insan yang lebih baik dan bertakwa.

Pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor ini berkata, Aidilfitri yang disambut hari ini nyata memberi nikmat cukup besar buat dirinya di sebalik ujian menimpa seluruh dunia ketika ini apabila diarahkan duduk di rumah dalam usaha membendung pandemik Covid-19.

"Kalau selama ini kita sambut Aidilfitri untuk berlumba baju siapa yang paling glamor atau apakah juadah istimewa pagi raya dan berapa jumlah duit raya yang berjaya dikutip sehingga kita terlepas pandang apakah simbolik raya itu.

"Hakikatnya Aidilfitri adalah hari kemenangan selepas melakukan ibadat puasa selama sebulan. Saya akui Aidilfitri kali ini begitu berbeza. Kalau dulu nak luaran saja cantik dan terbaik, tapi sekarang ini sering bertanya kepada diri kenapa saya sambut Aidilfitri?

"Pada usia 31 tahun ini, ia bukan lagi waktu untuk terlalu berseronok atau melaram sepanjang masa, sebaliknya saya ingin mengetahui perkara yang sudah dicapai dan pengajaran yang diperoleh pada Aidilfitri kali ini.

BAGI Neelofa, pandemik Covid-19 beri hikmah untuk lebih menghayati pengertian Aidilfitri.
BAGI Neelofa, pandemik Covid-19 beri hikmah untuk lebih menghayati pengertian Aidilfitri.

"Adakah dengan duduk di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini saya sudah berjaya menjadi insan yang lebih sabar selepas menjalani ibadat puasa dan lebih berpengetahuan dalam ilmu agama? Itulah pengertian yang cuba saya terapkan dalam diri bagi menambah bekalan akhirat," katanya.

Biarpun tidak dapat pulang ke kampung halaman di Kelantan untuk bertemu saudara-mara, Neelofa bersyukur kerana sebahagian keluarganya kini sudah berpindah ke Kuala Lumpur.

"Memandangkan sebahagian keluarga saya sudah berpindah ke Kuala Lumpur, jadi ini pengalaman pertama saya menyambut Aidilfitri bersama sepupu di sini. Biasanya kalau tak dapat pulang beraya di kampung, tinggallah keluarga saya saja di sini.

"Namun, tahun ini sedikit meriah sebab mereka semua ada. Jadi tidaklah rasa ketinggalan atau terlepas saat penting kerana ramai saudara-mara dan sepupu sudah menetap di sini (Kuala Lumpur)," katanya.

Antara yang peristiwa paling diingati ialah ketika bekerja pada malam raya menerusi program istimewa MeleTop Raya bersama Nabil Ahmad di saluran Astro Ria.

Ditanya mengenai juadah wajib yang dinikmati pada Aidilfitri, Neelofa berkata, nasi dagang adalah menu penting pada sambutan Aidilfitri.

"Kalau bab memasak orang yang handal di dapur adalah mak dan Nabila (kakak). Jadi mereka yang akan sediakan juadah.Bukan saya tak pandai memasak atau tak rajin ke dapur, tapi air tangan mereka lebih sedap, jadi saya lebih suka menikmati saja juadah yang disediakan," katanya.

Ramadan lebih bermakna

Neelofa turut ditanya mengenai amalan dilakukan sepanjang Ramadan lalu apabila banyak perkara tidak dapat dilakukan seperti tahun sebelumnya berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Neelofa menzahirkan rasa syukur apabila Ramadan kali ini paling bermakna dan terindah kerana dapat memberi sepenuh tumpuan untuk beribadat dan berjaga malam menunaikan solat.

"Selain itu, saya juga dapat berbuka puasa dan menunaikan solat Tarawih dengan ahli keluarga. Kalau sebelum ini pasti jadual saya terikat dengan majlis berbuka puasa dengan anak yatim atau menghadiri jemputan kenalan.

"Namun disebabkan musibah yang melanda ini, saya diberi kesempatan memanjakan diri dengan beribadat kepada Tuhan. Dalam pada itu, saya juga berpeluang bersama dengan beberapa pendakwah menerusi program di Instagram Live sebelum ini.

"Program yang asalnya bersama rakan artis dan kemudian dapat peluang bersiaran langsung dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Tiba-tiba datang idea untuk bersama pendakwah sehingga ia menjadi sesuatu yang tidak dirancang apabila ramai ustaz dan ustazah ingin turut serta berkongsi ilmu agama," katanya.

IMPIKAN perkahwinan beri inspirasi
IMPIKAN perkahwinan beri inspirasi

Impikan perkahwinan beri inspirasi

Walaupun jodoh rahsia Tuhan, ia antara soalan wajib yang sering ditanya dan dinanti-nantikan ramai.

Tambahan pula, ramai yang ingin mengetahui siapakah gerangan jejaka yang berjaya menambat hati wanita jelita ini.

Kata Neelofa, dia belum bertemu lelaki terbaik dalam hidupnya, namun akan berkongsi sebaik individu itu hadir dalam hidupnya.

"Jika ditakdirkan jodoh sudah tiba dan dialah lelaki yang akan bersama sepanjang hidup, saya pasti akan kongsikan kepada semua. Saya tidak akan sorok mengenai perkara ini.

"Jujur saya menginginkan perkahwinan itu nanti boleh memberi inspirasi kepada orang luar untuk dijadikan contoh. Memang saya ada berkawan dan kenal-kenal tapi belum berpunya," katanya.

Menurut Neelofa, jika dulu dia memberi tempoh tiga tahun kepada dirinya untuk mencapai kejayaan yang diinginkan dalam hidup sebelum menamatkan zaman bujang, namun disebabkan wabak berlaku ini dia terfikir apakah ia mampu tercapai.

"Pada musim PKP ini saya selalu terfikir jika sepanjang 2020 wabak ini belum reda, bila pula seluruh dunia akan kembali pulih? Kurang-kurang ia akan ambil masa setahun atau lebih lama untuk kembali asal.

"Jadi sudah tentu apa yang saya hajatkan dalam hidup untuk capai tiga tahun ini akan tertangguh dan mengambil masa yang panjang. Disebabkan itu, saya fikir mungkin kena ubah sikit perancangan itu.

"Kalau ada rezeki berkahwin, mungkin saya akan capai impian ketika berkahwin. Kalau dulu saya nak selesaikan semuanya sebelum kahwin, tapi sekarang saya sedia berkahwin sambil mencapai cita-cita itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 6:00 AM