ANTARA tokoh Muslim dunia.
ANTARA tokoh Muslim dunia.
Agensi

New York: Ketika kebanyakan media barat masih terkongkong dengan sentimen Islamaphobia, tokoh dan selebriti Muslim ini membuktikan agama tidak menyekat mereka untuk cemerlang dalam bidang masing-masing.

Terdapat banyak pengiktirafan antarabangsa dalam meraikan individu Muslim berpengaruh, tetapi senarai ini mengambil kira imej positif yang ditonjolkan individu terbabit, sekali gus menjadikan mereka suri teladan kepada generasi muda.

1. Sadiq Khan, Datuk Bandar London

Anak kepada pemandu bas ini dipilih sebagai Datuk Bandar London pada Mei 2016, sekali gus menjadikan individu Muslim pertama dilantik ke jawatan itu.

Beliau mempunyai pengalaman luas sebagai peguam dan aktivis hak asasi manusia serta pernah memegang dua jawatan menteri di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown.

Beliau memanfaatkan latar belakangnya yang berketurunan Pakistan untuk berkhidmat untuk penduduk London yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Selain itu, beliau pernah menarik perhatian ramai apabila dikecam oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

2. Halima Aden, model berhijab

Halima Aden mengejutkan ramai pihak apabila menjadi peserta pertama di dalam pertandingan Ratu Cantik Minnesota AS yang memakai hijab dan memakai burkini.

Beliau juga menjadi model berhijab pertama yang menandatangani kontrak dengan agensi model terkemuka, IMG Models dan muncul sebagai penghias muka depan majalah fesyen Vogue serta Allure.

Pada 2019, wanita ini menjadi model pertama yang berhijab dan memakai burkini yang ditampilkan dalam majalah Sports Illustrated.

Model berketurunan Somalia ini tidak menjadikan agama sebagai penghalang dengan kontrak peragaan secara jelas tidak berkompromi dengan pemakaian hijab.

3. Mahershala Ali, pelakon

Bintang filem Moonlight ini menjadi Muslim pertama meraih Anugerah Akademi atau Oscar iaitu pengiktirafan tertinggi dalam bidang perfileman di AS pada 2017.

Setahun selepas itu, beliau meraih Anugerah Golden Globe dan Oscar untuk lakonannya sebagai komposer serta pemain piano jazz Amerika , Don Shirley, menerusi filem Green Book.

Pada 2019, Mahershala tersenarai sebagai 100 Individu Berpengaruh Dunia oleh Majalah Time. Beliau memeluk Islam pada 2000 dan secara terbuka sering membincangkan cabaran serta prejudis dihadapi ketika berurusan di bank dan lapangan terbang hanya kerana menggunakan nama Ali.

4. Ibtihaj Muhammad, atlet lawan pedang AS

Pada 2016, Ibtihaj menjadi wanita Islam pertama yang memakai hijab dan mewakili AS di Sukan Olimpik Rio dalam acara lawan pedang.

Dalam temasya berkenaan, beliau menjadi atlet wanita Muslim AS pertama yang meraih pingat gangsa dalam acara sabre berpasukan menerusi sukan berkenaan.

Ketika kecil, wanita ini sangat amat berminat dengan sukan tetapi berdepan kesukaran kerana kebanyakan acara memerlukan seseorang tidak berpakaian mengikut ajaran Islam.

Bagaimanapun, selepas melihat pasukan lawan pedang berlatih, beliau memutuskan untuk menyertai sukan berkenaan dan memanfaatkannya untuk mendapatkan biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

5. G Willow Wilson, penulis komik Marvel

Selain penulis komik, wanita ini adalah wartawan dan penulis yang pernah menghasilkan pelbagai novel grafik.

Dilahirkan di AS, Wilson memeluk Islam ketika dalam penerbangan ke Mesir untuk mengajar Bahasa Inggeris di negara berkenaan.

Beliau bertanggungjawab sebagai editor bersama dan penulis bersama kepada komik adiwira Muslim pertama keluaran Marvel Comics, Kamala Khan.

6. Mehmet Oz, doktor selebriti

Mehmet Oz lebih dikenali sebagai Dr Oz mengacarakan rancangan televisyen mengenai kesihatan popular di AS. Beliau yang berketurunan Turki mula menempa populariti sejak ditampilkan sebagai pakar kesihatan dalam program bual bicara The Oprah Winfrey Show.

Pakar dalam bidang kardiotorasik dan profesor di Universiti Columbia ini menjadi penulis bersama enam buku dalam senarai Buku Terlaris New York Times.

Selain itu, Dr Oz juga menjadi penyumbang artikel kesihatan kepada beberapa majalah termasuk Esquire.

7. Khabib Nurmagomedov, bintang seni bela diri campuran (MMA)

Berasal dari etnik Avar dari wilayah Dagestan, Khabib menjadi individu pertama yang menjuarai Ultimate Fighting Championship (UFC). UFC adalah kejohanan MMA.

Pertarungannya dengan Conor McGregor pada UFC 229 pada 2018 menarik 2.4 juta tontonan berbayar, sekali gus angka tertinggi dalam penganjuran acara MMA.

Khabib membelasah McGregor untuk mengekalkan gelaran lightweight UFC 229 dan tidak berminat dengan pertarungan semula yang pastinya menjanjikan habuan paling lumayan dalam sejarah MMA.

Beliau menarik perhatian ramai kerana gaya hidupnya yang kuat berpegang kepada ajaran Islam.

8. Feroza Aziz, personaliti media sosial

Gadis ini mengejutkan dunia pada November 2019 apabila tiga video Tik Tok yang memaparkan dia membuat tutorial mekap dan mengkritik cara China menangani isu etnik Uighur, dipadamkan oleh pengendali media sosial berkenaan.

Video pertama ditonton lebih 1.4 juta kali dan menerima lebih 500,000 tanda suka. Video sama yang dimuat naik ke Twitter pula ditonton lebih lima juta kali.

Tanpa perlu membuat aksi dangkal seperti menari dengan gaya seksi seperti sesetengah selebriti, Feroza, gadis AS yang kini berusia 18 tahun membuktikan media sosial juga memberi manfaat untuk memberi kesedaran mengenai isu hak asasi sejagat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 6:30 AM