DR Mahathir (gambar arkib). FOTO Bernama
DR Mahathir (gambar arkib). FOTO Bernama
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


BEKAS Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi pemimpin lain sebenarnya bukan dipecat sebaliknya digugurkan keahliannya daripada parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Wan Saiful Wan Jan menegaskan, perkara itu jelas termaktub dalam perlembagaan parti dan tidak timbul soal pemecatan seperti yang disiarkan oleh media sebelum ini.

"Fasal 10.2 perlembagaan Bersatu adalah jelas bahawa 'Keahlian seseorang ahli terhenti secara serta merta apabila' ... 'menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain.

"Apabila mana-mana ahli parlimen BERSATU memilih untuk menyertai kelompok yang bukan bersama parti sendiri di dalam Parlimen, maka secara automatik keahlian mereka gugur dan ia bukan satu perkara mengejutkan.

"Saya mahu tegaskan bahawa mereka tidak dipecat sebaliknya keluar hasil tindakan sendiri. Sebagai contoh, apabila seseorang itu dengan sendiri berjalan keluar dari rumah, dia bukan dikeluarkan dari rumah itu tetapi tindakannya yang menyebabkan dia berada di luar rumah, itulah yang berlaku dalam kes ini," katanya dalam satu kenyataan di Kangar, malam ini.

Mengulas kembali mengenai tindakan lima Ahli Parlimen terbabit di Parlimen pada 18 Mei lalu, Wan Saiful menegaskan bahawa tindakan mereka itu adalah bertentangan dengan pengamalan mana-mana ahli politik.

"Tidak ada satu parti pun di muka bumi ini yang membenarkan Ahli Parlimennya berada di kerusi yang berbeza dari kedudukan parti di dalam Parlimen.

"Tolong beritahu parti mana di dunia ini yang pernah benarkan ia berlaku? Tiada masalah untuk berbeza pandangan tetapi mestilah (tetap berada) dari blok parti sendiri, bukan dari luar (blok parti)," katanya.

Beliau menyeru agar semua ahli kembali memperkukuhkan parti dan menghargai segala sumbangan kelima pemimpin berkenaan sepanjang berada di dalam parti tanpa menafikan jasa mereka agar BERSATU lebih maju ke hadapan.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir bersama empat yang lain iaitu Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Armada BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dipecat keahliannya daripada parti itu.

Berita berkaitan

Tun M dipecat dari Bersatu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 9:05 PM