WANY ambil kesempatan berkunjung ke rumah ayah, rakan rapat rai Aidilfitri selain manfaat teknologi maya erat silaturahim
WANY ambil kesempatan berkunjung ke rumah ayah, rakan rapat rai Aidilfitri selain manfaat teknologi maya erat silaturahim
Sudirman Mohd Tahir

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfiti dalam suasana normal baharu memberikan satu lagi pengalaman baharu buat seluruh umat Islam di Malaysia.

Malah, Syawal yang diraikan juga menjadi catatan sejarah yang bakal dikenang sampai bila-bila kerana boleh dianggap bukan raya biasa. Pendek kata tiada lagi istilah raya sakan dan meriahnya hari raya.

Apa yang pasti juga, aktiviti ziarah-menziarahi sanak saudara serta rakan taulan yang menjadi tradisi bagi setiap orang pada setiap tahun bertukar raya di alam maya. Kecanggihan teknologi dimanfaatkan sebaiknya untuk terus mengeratkan silaturahim.

Perkara sama dilalui penyanyi popular, Wany Hasrita apabila patuh dengan arahan kerajaan yang hanya membenarkan aktiviti ziarah pada hari raya pertama sahaja.

"Apabila kerajaan mengumumkan sambutan raya tahun ini tidak dibenarkan berziarah kecuali pada raya pertama, bagi saya bagus. Saya turut mengambil kesempatan dengan pergi ziarah ke rumah ayah dan kawan rapat saja.

"Esoknya dan sehingga sekarang, tidak ada sesiapa dibenarkan datang rumah. Saya pun tak keluar kecuali atas urusan kerja saja.

"Ini keputusan yang tepat sebab negara kita masih ada kes Covid-19. Memang bagus bila dihadkan ziarah-menziarahi," katanya.

Bagaimanapun, Wany yang popular menerusi lagu Canggung tidak melepaskan peluang tetap membuat persiapan hari raya.

Walaupun tidak semeriah tahun sebelumnya, Wany berkata 'mood' raya itu perlu ada.

WANY beraya berdua bersama ibu dalam suasana normal baharu.
WANY beraya berdua bersama ibu dalam suasana normal baharu.

"Raya tahun ini memang sangat biasa. Tapi, persiapan raya masih dibuat. Setidaknya, ada sepasang baju raya baru yang dibeli. Bagi menaikkan 'mood' raya juga, saya beli pelita dan cucuk di laman rumah, sekurang-kurangnya suasana raya ada.

"Macam kelengkapan lain, biasa saja. Makanan pun seadanya cukup untuk dua orang iaitu saya dan ibu," katanya.

Wany juga menyifatkan sambutan Aidilfitri tahun ini janggal kerana perlu membiasakan diri dengan normal baharu yang ditetapkan kerajaan sebagai usaha untuk memutuskan penularan Covid-19.

"Perlu diakui raya tahun ini memang agak janggal sedikit, tapi apa-apa pun kita kena biasakan sebab ini adalah normal baharu kita. Kita semua kena terima.

"Saya yakin, apabila perkara ini sentiasa diamalkan dalam kehidupan seharian, lama kelamaan semuanya akan okey. Daripada janggal, ia akan menjadi sesuatu yang biasa. Mungkin pada awalnya saja agak kurang selesa," katanya.

Sedia kembali bekerja

Sejak kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, industri kreatif negara lumpuh apabila tidak ada sebarang aktiviti seni membabitkan acara, penggambaran dan persembahan dibatalkan.

Malah, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu juga masih belum membenarkan aktiviti sama. Namun, beberapa perkara diberi kelonggaran mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Wany yang juga Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH 31) bersyukur apabila dapat kembali bekerja pada Ramadan dan Syawal ini.

"Alhamdulillah, pada Ramadan lalu saya terbabit dalam beberapa rakaman program TV. Apabila pergi bekerja, kita sendiri kena ambil langkah berjaga-jaga. Diakui walaupun ada SOP, tapi masih ada yang tak ikut terutama dari segi penjarakan sosial.

"Disebabkan itu, kesedaran diri sendiri kena ada dan sangat penting. Macam saya, memang kena lebih peka. Contohnya, saya membawa sendiri 'hand sanitizer'. Setiap kali menggunakan mikrofon, saya akan lap dengan tisu basah bagi tujuan sanitasi.

PERSIAPAN raya masih diteruskan Wany Hasrita.
PERSIAPAN raya masih diteruskan Wany Hasrita.

"Begitu juga pada malam raya, saya terbabit dengan program MeleTop Live. Pada raya keempat, saya terbabit pula dalam program Mega Raya Ria juga secara langsung. Cuma, persembahan nyanyian saja masih dibatalkan," katanya.

Berkongsi mengenai normal baharu yang diamalkan dalam kehidupan masyarakat hari ini, Wany yang baharu muncul dengan lagu raya Raikan Aidilfitri menyifatkan rakyat Malaysia semakin patuh.

"Apa yang saya nampak, setakat ini Alhamdulillah. Pergi mana-mana, orang pakai pelitup muka. Jadi, saya rasa rakyat Malaysia sudah mula sedar ini adalah normal baharu walaupun ada juga yang masih degil.

"Tapi saya percaya lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang mempunyai pengetahuan dalam perkara ini. Betapa pentingnya kini kita menjaga kesihatan bagi memutuskan rantaian Covid-19 ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 6:00 AM