Saipul Adli Mohamad; Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim


TERDAPAT pertambahan 23 kes pulih dan dibenarkan discaj daripada hospital dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 terus meningkat kepada 6,353 kes dengan kadar kesembuhan 81.25 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 57 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan dan merekodkan 7,819 kes positif keseluruhan.

Beliau berkata, 57 kes baharu dilaporkan itu membabitkan 10 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan dikuarantin sebaik tiba di negara ini.

Katanya, daripada 47 kes penularan tempatan, 43 kes adalah bukan warganegara Malaysia termasuk 24 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Sepang dan 15 kes dikesan di Pahang merangkumi tiga kluster pekerja bukan warganegara serta masing-masing satu kes dari Kluster Sungai Lui, Kluster Pudu dan satu kes di pendatang asing tanpa izin (Pati) di Klang.

PETUGAS kesihatan membabitkan doktor dan jururawat bertugas di wad menempatkan pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PETUGAS kesihatan membabitkan doktor dan jururawat bertugas di wad menempatkan pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

"Penularan Covid-19 di dalam negara dalam kalangan warganegara Malaysia adalah empat kes sahaja.

"Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 1,351 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

"Sehingga kini, sembilan kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 115 kes iaitu 1.47 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 5:09 PM