CHENG Hoe
CHENG Hoe
Firdaus Hashim


PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui terpikat dengan aksi mantap calon tonggak warisan dari Republik Congo, Marcel Kalonda dan percaya kehadirannya mampu memperkuatkan pasukan negara.

Berdasarkan pemerhatian menerusi video perlawanan ketika Kalonda beraksi bersama kelabnya, ZESCO United dalam saingan Liga Juara-Juara Afrika, Cheng Hoe menyifatkan pemain tinggi lampai itu memiliki keupayaan untuk mengukuhkan benteng skuad kendaliannya.

Jelas jurulatih berasal dari Kedah itu, ketinggian hampir 1.88 sentimeter (cm) serta susuk tubuh besar meletakkan Kalonda sebagai aset berharga buat pasukan kebangsaan.

"Saya ada tengok waktu dia main perlawanan Liga Juara-Juara Afrika di mana dari sudut ketinggian dan fizikal memang nampak dia ada potensi besar.

"Lagipun, dia juga adalah satu opsyen buat pasukan kerana kita tahu kita pun kekurangan pertahanan yang berkaliber dan potensi. Malah, dengan umurnya baru 22, saya lihat ia juga baik untuk masa depan dan pembangunan pasukan kita," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan Kalonda sudah menghantar dokumen rasmi berhubung latar belakang dirinya selepas tempoh dua minggu berakhir kelmarin.

Bagaimanapun, seorang lagi calon iaitu Harry Edge yang kini menetap di Sweden memutuskan untuk kekal di sana dan meneruskan kariernya di Eropah.

Katanya, Kalonda yang kini beraksi dalam Liga Zambia sudah mengemukakan dokumen bagi membuktikan dirinya mempunyai hubungan dengan negara ini, terutama dakwaan datuknya dilahirkan di Sabah.

Bagaimanapun, Kalonda diberi tempoh lanjutan selama dua minggu lagi bagi melengkapkan dokumen yang diperlukan oleh FAM untuk didaftarkan sebagai pemain warisan.

"Saya hormati setiap keputusan individu macam Harry Edge dia kata dia tak nak wakil Malaysia dalam masa tedekat, jadi kita kena hormat keputusannya," katanya.

"Tapi pada masa sama, Kalonda pula menyatakan minat dan dia pun sudah menghantar dokumen bagi mendapatkan kelulusan sebagai pemain warisan. Bagi saya itu satu petanda baik di mana dia berminat, teruja dan nak main untuk pasukan kebangsaan. Saya harap segala perancangan dan niatnya itu menjadi kenyataan," kata Cheng Hoe.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 6:35 AM