SEKUMPULAN monyet di India menjaga penjarakan sosial ketika makan tembikai. FOTO Twitter
SEKUMPULAN monyet di India menjaga penjarakan sosial ketika makan tembikai. FOTO Twitter
Agensi

NEW DELHI: Bukan hanya manusia, haiwan pun tahu menjaga penjarakan sosial bagi mengekang penularan Covid-19.

Itu yang diamalkan sekumpulan monyet di India apabila 'menjaga' jarak masing-masing ketika makan.

Aksi kumpulan haiwan terbabit duduk dalam dua barisan tular selepas meraih lebih 7,500 kali ulang ciap itu.

Ketika menikmati potongan tembikai masing-masing, haiwan itu tidak berganjak sebaliknya masih 'menjaga' penjarakan sosial antara satu sama lain.

The Indian Express melaporkan, gambar kumpulan haiwan itu sedang melakukan penjarakan sosial dirakam Arup Kalita di Tezpur di negeri Assam, India.

Gambar berkenaan dikongsikan Menteri Negara Kementerian Hal Ehwal Belia dan Sukan, Kiren Rijiju.

Dalam ciapan Twitter, Kiren mengesahkan penjarakan sosial sempurna itu berdekatan Bhalukpong di Arunachal Pradesh sempadan Assam-Arunachal.

"Jika kita perhatikan betul-betul, haiwan boleh mengajar kita banyak perkara yang mana mungkin kita terlepas dalam rutin harian kita," katanya.

India dengan jumlah penduduk 1.3 bilion sebelum ini melaksanakan perintah 'lockdown' terbesar dunia.

Perintah selama lebih dua bulan bermula 25 Mac sehingga 1 Jun lalu menyaksikan rakyatnya berkurung dalam rumah dan operasi pengangkutan awamnya tidak beroperasi.

Setakat semalam, berdasarkan worldometer, India merekodkan 207,615 positif Covid-19 dengan 5,829 kes kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 6:30 AM