FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

PENYELIA tapak didenda RM5,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Sibu, hari ini, selepas mengaku bersalah melanggar perintah kuarantin di rumah.

Jeffery Jambo Dan, 27, mengingkari perintah itu pada jam 9.30 pagi, 25 Mei lalu, apabila dia pergi ke sebuah kafe di Sibu Jaya untuk menikmati sepinggan mi kampua, dan memuat naik gambarnya di Facebook yang kemudian menjadi tular.

Majistret Muhammad Faizal Che Saad menjatuhkan hukuman itu terhadap Jeffery selepas menimbang kepentingan awam, terutama bagi menghalang orang ramai melakukan kesalahan yang sama seperti tertuduh.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Muhammad Faizal bertanya Jeffery adakah dia memahami syarat untuk dikuarantin selepas pulang dari Kuala Lumpur dan adakah tertuduh menyedari tindakannya yang tidak bertanggungjawab akan memberi kesan bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga masyarakat, Jeffery kemudian menjawab dia memahami kesalahannya.

Jeffery didakwa mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika rayuan mengurangkan hukuman, Jeffery yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan, dengan alasan dia sudah menyesal kerana melanggar perintah itu dan dia perlu menjaga seorang anak, ibu bapa dan adik-beradiknya.

Pegawai Pendakwa Wilfred John Mujang bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kerana tertuduh telah melanggar perintah pemantauan atau pengawasan kontak yang dikenakan terhadapnya.

Beliau menegaskan tertuduh sengaja melanggar perintah kuarantin di rumah dan telah mengkhianati petugas barisan hadapan yang bekerja kuat untuk menghentikan penyebaran Covid-19.

"Ini akan menjadi pengajaran kepada tertuduh, individu yang sedang menjalani kuarantin dan individu lain yang sedang disiasat serta kepada masyarakat umum pada amnya untuk mematuhi peraturan dan perundangan seperti yang dinyatakan dalam Undang-Undang 342 dan garis panduan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan yang akan menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia," kata Wilfred.

Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Sarawak, Billy Sujang ketika ditemui pemberita berkata kes adalah kes pertama pelanggaran kuarantin yang dibawa ke mahkamah, untuk menunjukkan kesungguhan Jabatan Kesihatan dalam mengekang penularan Covid-19.

Beliau juga menyambut baik keputusan mahkamah sebagai pengajaran kepada mereka yang sedang menjalani kuarantin.

Billy berkata, Jeffery masih dalam kuarantin ketika dia keluar dari rumah dan menyiarkan gambar dirinya di Facebook, dan tertuduh memberitahu dalam komen di hantarannya bahawa orang ramai boleh menanggalkan gelang tangan QR dan memakainya semula, mengajar orang ramai untuk melanggar undang-undang.

Pemakaian gelang tangan plastik itu diwajibkan terhadap individu yang memasuki Sarawak, untuk memastikan mereka mematuhi perintah kuarantin selama 14 hari bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 8:38 PM