NUR Elisa mengambil sampah  di rumah penduduk di Apartmen Cempaka Sari, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.
NUR Elisa mengambil sampah di rumah penduduk di Apartmen Cempaka Sari, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.
Suraya Roslan


BIARPUN memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang seni bina namun gadis ini tidak malu menawarkan khidmat mengangkat sampah dengan bayaran RM1 selepas kehilangan pekerjaan sebagai pereka tudung.

Bagi gadis cantik ini, Wan Nur Elisa Adreena Wan Jusoh, 24, dia tidak malu demi mencari rezeki halal dan sanggup mengiklankan perkhidmatan itu khusus buat penduduk di Apartmen Cempaka Sari, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.

"Saya baru tawarkan khidmat angkat sampah secara sambilan hasil inspirasi rakan saya yang membuat infak tepung pelita ketika Ramadan baru-baru ini.

"Rakan saya mula jual tepung pelita. Apabila ada pelanggan mahu infak dia akan beri kepada orang miskin, kaya, bukan Islam dan Islam.

"Jadi saya terfikir apa salahnya ambil peluang mencari pahala dan rezeki dalam masa sama.

"Sementara sedang mencari pekerjaan, saya terfikir menggunakan kesempatan ini dengan menawarkan khidmat mengutip sampah dari rumah ke rumah.

"Mungkin bayarannya kelihatan murah dan tidak berbaloi namun saya yakin ia mampu membantu orang ramai," katanya.

Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak itu berkata, dia baru mengiklankan perkhidmatan dua hari lalu dan hanya menawarkan khidmat kepada penghuni di pangsapuri didiaminya itu.

"Saya tidak bercadang menjadikan kerja ini sebagai kerjaya tetap. Ia hanya sambilan sementara menunggu peluang pekerjaan," katanya kepada wartawan Harian Metro.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata, dia bercadang mengangkat sampah di depan rumah dan pelanggan hanya perlu menghantar pesanan WhatsApp maklumat berkaitan nombor rumah, blok dan tingkat kediaman dihuni.

"Saya sendiri akan pergi mengutip sampah diletakkan di hadapan rumah mereka. Tetapi saya hanya hadkan dua bungkusan sampah bagi setiap kediaman.

"Saya hanya menerima sampah domestik dan tidak menguruskan pembuangan peralatan atau perabot besar berikutan pangsapuri ini tiada kemudahan lif.

"Saya hanya melakukan khidmat ini seorang diri buat masa ini dan pelanggan hanya perlu membayar RM1.

"Bagi saya khidmat angkat sampah berkenaan bukan untuk mencari duit semata-mata, tetapi sebagai usaha bersedekah dengan cara berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 6:45 AM