GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Skuad Khas Harian Metro


HARGA murah serendah RM4 hingga RM7 sekotak dan lambakan rokok seludup di pasaran seluruh negara menjadikan golongan kanak-kanak dan remaja mula merokok.

Kajian dilakukan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan, kanak-kanak seawal usia lapan tahun sudah mula terbabit dengan tabiat atau ketagihan merokok.

Lapor kajian itu, golongan kanak-kanak seawal usia lima hingga tujuh tahun mula terdedah kepada rokok selepas diminta bapa mereka untuk membelinya di kedai.

"Ini mendorong kanak-kanak terbabit cuba merokok pada usia lapan tahun," dedah kajian itu.

Pengarah Urusan Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan Malaysia (RTBA Malaysia) Datuk Fazli Nordin berkata, kaji selidik dilakukan CAP berkaitan peningkatan golongan perokok dalam kalangan remaja amat tepat.

"RTBA Malaysia percaya faktor penyumbang utama terhadap masalah ini adalah kewujudan rokok murah yang boleh dibeli di mana-mana," katanya.

Malah katanya, kaji selidik yang dilakukan pada 2016 bertajuk Kaji Selidik Rokok dan E Rokok Dalam Kalangan Remaja (TECMA) yang dilakukan Institut Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap responden berusia 19 tahun ke bawah mendapati 71.6 peratus responden yang merokok membeli rokok pada harga kurang RM9 sekotak.

"Hanya rokok seludup (haram) dapat dijual bawah harga RM9 di Malaysia. Kebanyakan harga serendah RM3 dan RM4 sekotak. Ini sekali gus memberi akses mudah kepada remaja daripada aspek kemampuan," katanya menegaskan, rokok seludup begitu mudah didapati di seluruh negara.

Dalam perkembangan sama, Fazli berkata, kawalan sempadan negara yang kurang ketat juga menyebabkan rokok mudah diseludup ke negara ini.

Katanya, laporan dikeluarkan RTBA, bertajuk Rokok Haram di Rantau Asia Pasifik: Punca-punca dan Penyelesaian yang diterbitkan pada April lalu mendapati, Malaysia menerajui' trend global di dalam kadar perokok remaja disebabkan akses mudah kepada rokok haram.

"Bilangan besar rokok kontraban, terutamanya dalam bentuk rokok batang yang dikilangkan pada harga rendah di negara jiran dan dijual di dalam negara ini, disebabkan kawalan sempadan yang longgar.

"Kewujudan di mana-mana rokok seludup murah dan dalam bilangan sangat banyak adalah suatu ancaman kepada golongan muda Malaysia serta sosio-ekonomi negara dan agenda kesihatan," katanya.

Tambahnya, seiring dengan tema Hari Tanpa Tembakau 2020 mengenai usaha melindungi golongan remaja, penggubal undang-undang Malaysia perlu melakukan lebih lagi dari segi dasar-dasar awam, keselamatan sempadan dan reformasi ke atas cukai eksais bagi membanteras sepenuhnya kebanjiran rokok seludup,'' katanya.

Amalan merokok dalam kalangan kanak-kanak dan remaja turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang menasihatkan golongan itu supaya segera berhenti.

"Kanak-kanak (dan remaja) merokok, kalau dapat jangkitan Covid-19, komplikasi lebih tinggi. Malah, perokok baru akan merosakkan fungsi (paru-paru), implikasi jangkitan lebih teruk. Begitu juga kanak-kanak yang terdedah kepada perokok contohnya ahli keluarga merokok," katanya.

Menurutnya, pelbagai program dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuklah aktiviti anti merokok.

"Kita galakkan semua berhenti merokok dan KKM beri atau sedia perkhidmatan (untuk) berhenti merokok," katanya ketika ditanya wartawan pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 3:09 PM