ANGGOTA polis berkawal di luar bank. FOTO ihsan pembaca
ANGGOTA polis berkawal di luar bank. FOTO ihsan pembaca
Omar Ahmad


"INI kali pertama berlaku kejadian rompakan dengan senjata dan tebusan. Suasana panik ketika kejadian dan ia berlaku terlalu pantas," kata Nurul Izzati Kamali, 23, saksi kejadian rompakan di bank di Air Tawar 5, Kota Tinggi, petang tadi.

Nurul Izzati yang berniaga berdekatan kawasan itu berkata, pada waktu itu, kawasan deretan kedai tenang dan tidak sibuk dengan orang ramai yang berurusan.

"Ada beberapa orang yang sedang beratur menunggu giliran masuk membuat urusan di bank. Secara tiba-tiba perompak datang, tarik seorang wanita yang berada di barisan hadapan dengan senjata seperti sabit, dan dengar pintu bank ditutup serta dengar jeritan dari dalam yang meminta duit," katanya hari ini.

Menurutnya, penduduk yang berada di lokasi kejadian segera membuat panggilan kecemasan.

Katanya, ada juga penduduk yang tunggu di luar pintu bank di bahagian depan dan belakang supaya perompak tidak terlepas.

"Selepas beberapa minit ada dengar ketukan dari arah pintu bank, polis sudah bersiap sedia ketika itu sekiranya perompak yang keluar.

"Tetapi beberapa pelanggan dan pekerja meluru keluar. Ada yang menangis ketakutan dan terkejut," katanya.

Sejak petang tadi, tular beberapa video di Facebook (FB) dan WhatApps mengenai kejadian rompakan bersenjata serta tebusan di sebuah bank di Air Tawar 5.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah berkata, suspek lelaki berusia 19 tahun maut ditembak oleh pengawal keselamatan bank terbabit.

"Tiada kecederaan dilaporkan terhadap tebusan dan pekerja bank terbabit. Mayat suspek dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat," katanya.

Berita berkaitan

Rompak bank: Suspek umur 19 tahun mati ditembak

Gempar bank dirompak di Kota Tinggi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 7:49 PM