X
GO Joon (kiri) anggap Jang Na Ra pelakon hebat dan begitu memberi komitmen pada watak dilakonkan.
GO Joon (kiri) anggap Jang Na Ra pelakon hebat dan begitu memberi komitmen pada watak dilakonkan.
Norhayati Nordin

IMPIAN mempunyai anak dan keluarga sendiri tidak semestinya untuk pasangan muda, namun bagi mereka yang mungkin sudah lanjut usia juga mampu memilikinya jika terus berusaha.

Itulah yang diperjuangkan pelakon Go Joon dan Jang Na Ra dalam drama lakonan bersama mereka berjudul Oh My Baby di saluran tvN setiap Rabu dan Khamis mulai pertengahan Mei lalu.

Go Joon yang melakonkan watak Han Yi Sang, pada awal penceritaan drama ini tidak terbuka hati mahu berkahwin kerana sudah selesa hidup bujang hingga melewati usia 40-an. Malah, Yi Sang juga tidak sukakan kanak-kanak.

Justeru, konflik karakter Yi Sang sangat berbeza dengan watak Jang Ha Ri lakonan Jang Na Ra yang sentiasa menyimpan impian menjadi seorang ibu dan memiliki anak sendiri seperti wanita bekerjaya yang lain.

Mengulas gandingan mereka, Go Joon dan Jang Na Ra dalam sidang media diadakan berkata, lakonan dalam drama Oh My Baby banyak membantu mereka ke arah berpandangan positif terhadap perkahwinan dan kehidupan berkeluarga.

Go Joon, 42, berkata dia yang masih bujang tertarik membintangi drama Oh My Baby kerana jalan cerita begitu dekat dengan kehidupan peribadinya. Ujarnya, dia turut terfikir mahu hidup berkeluarga.

"Oh My Baby sebenarnya memberi cabaran kepada saya merealisasikan karakter Yi Sang yang mulanya dingin pada wanita. Apatah lagi, watak itu berhadapan dengan situasi lelaki yang luarannya normal dan nampak sihat tetapi mempunyai masalah kesuburan.

"Selain itu, watak Yi Sang juga memberi peluang pada saya beraksi dalam drama bergenre komedi romantik yang agak menarik. Ia sangat menyeronokkan dan gandingan pelakon lain juga banyak membantu," katanya.

Berbicara mengenai Jang Na Ra sebagai heroin utama, Go Joon berkata, wanita itu seorang pelakon hebat dan begitu memberi komitmen pada watak dilakonkan. Ujarnya, tidak sukar untuk dia bekerjasama dan membina keserasian dengan Jang Na Ra kerana mereka sering berbincang.

Menurut Go Joon, dia juga berasa bertuah dipilih membintangi drama Oh My Baby yang mendorongnya berusaha memberi komitmen terbaik kerana mendapat kerjasama mantap daripada barisan pelakon serta pasukan produksi yang hebat.

ANTARA pelakon yang menjayakan siri Oh My Baby (dari kiri) Go Joon, Jang Na Ra, Park Byung Eun dan Jung Gun Joo.
ANTARA pelakon yang menjayakan siri Oh My Baby (dari kiri) Go Joon, Jang Na Ra, Park Byung Eun dan Jung Gun Joo.

Bagi Jang Na Ra, 39, pula, setiap drama dibintanginya pasti memberi pengalaman menarik. Termasuk drama Oh My Baby yang disifatkan berkisar pada kehidupan wanita bekerjaya dan tidak berkahwin sehingga lewat usia.

"Saya sendiri dalam kehidupan realiti masih bujang. Hingga kini, saya hanya berkahwin dalam lakonan sahaja. Lagi pun, jadual kerja yang sentiasa padat selama ini membuatkan saya tiada masa untuk bercinta.

"Bagaimanapun, jika bertemu dengan lelaki yang serasi dan memahami, tidak mustahil saya akan berubah fikiran dan mungkin terus berkahwin. Namun, buat masa ini saya hanya fokus pada kerjaya sahaja," katanya.

Mengulas watak Ha Ri itu, ia diakui tidak sama dengan keperibadian dirinya. Menurut Jang Na Ra, apapun dia gembira serta bersemangat melakonkan peranan sebagai Ha Ri.

Ditanya mengenai Go Joon, katanya dia tidak menyangka mereka boleh bekerjasama dengan baik dan mudah. Jelasnya, meskipun riak wajah Go Joon nampak serius tetapi dia seorang yang kelakar.

Dugaan cinta Yi Sang dan Ha Ri

Meskipun saling mencintai, tetapi hubungan Yi Sang dan Ha Ri tetap berhadapan dugaan. Apatah lagi, rakan baik Ha Ri iaitu Yoon Jae Young dan teman sekerjanya, Kang Eu Theum turut mengejar cinta wanita berkenaan.

Watak Jae Young lakonan Park Byung Eun adalah doktor kanak-kanak yang berstatus bapa tunggal. Hubungan baik Ha Ri dan Jae Young sejak kecil membuatkan mereka saling menganggap seperti keluarga.

Namun, menyedari sikap baik Ha Ri yang sudi membenarkan Jae Young tinggal di rumah ibunya selepas bercerai, menyebabkan Jae Young sedar bahawa dia sebenarnya sangat mencintai Ha Ri. Di tambah, Ha Ri juga melayan baik anak perempuannya dengan penuh kasih sayang.

Manakala, watak Eu Theum yang dilakonkan Jung Gun Joo pula jatuh hati dengan Ha Ri selepas wanita itu membantu menyelesaikan masalahnya dengan pihak penaja produk untuk penerbitan majalah tempat mereka bekerja. Ha Ri yang juga wartawan senior banyak membantu Eu Theum sebagai penulis baharu.

Justeru sama ada Jae Young atau Eu Theum, masing-masing tidak mahu mengalah mendapatkan cinta Ha Ri biar pun mereka tahu wanita diidamkan itu menjalin cinta dengan Yi Sang. Apakah cinta Yi Sang dan Ha Ri mampu bertahan?

Malah, adakah Ha Ri akan dapat memenuhi impiannya untuk bergelar ibu berikutan masalah kesuburan dihadapi Yi Sang? Hanya berbaki empat episod, kebanyakan penonton memuji gandingan Go Joon dan Jang Na Ra.

Bahkan, ramai juga pada kalangan peminat yang mengharapkan Go Joon dan Jang Na Ra menjadi kekasih di dunia realiti. Apapun, hingga kini drama Oh My Baby mencatat rating tontonan yang tinggi di saluran tvN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 6:00 AM