X
Kamil bersama anaknya.
Kamil bersama anaknya.
Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin dan Nurul Husna Mahmud dan Nurul Hidayah Bahaudin


"HAMPIR empat bulan saya hilang arah hidup selepas kematian isteri, Nur Azian Baki berusia 32 tahun, dua tahun lalu akibat jangkitan kuman.

"Saya terkenangkan nasib anak bongsu, Al-Ammar berusia tiga tahun yang ketika itu masih belum putus susu dan menghidap autisme selain anak sulung, Muhammad Al-Adhim yang menghidap hidrosefalus (kepala besar)," luah Kamil Abd Wahab, 39.

Menurut Kamil yang menetap di Langgar, Alor Setar, Kedah sejak itu tugasnya bukan sekadar mencari nafkah bagi membiayai perubatan kedua-dua anaknya, malah mengisi kekosongan ditinggalkan si ibu.

Katanya, penguat kepada semangat dalam menunaikan tanggungjawab sebagai bapa tunggal adalah keceriaan dan keletah manja terutama Al-Ammar yang begitu rapat dengannya.

"Arwah isteri menghidap kencing manis dan cukup menjaga kesihatan diri termasuk sering melakukan pemeriksaan kesihatan.

"Bagaimanapun, dia tiba-tiba menghidap demam dan seminggu selepas itu, meninggal dunia akibat jangkitan kuman.

"Pada mulanya, saya sukar untuk menerima keadaan ini kerana perlu menggalas tanggungjawab sebagai bapa dan ibu pada satu masa.

"Bagaimanapun, sokongan keluarga terutama ibu, Siti Ahmad berusia 74 tahun menguatkan semangat saya untuk menjaga kedua-dua anak sebaik mungkin," katanya.

Menurut Kamil, dia turut bersyukur 13 adik beradiknya cukup prihatin dengan keadaan anak-anaknya.

Rutin Kamil setiap hari ialah menguruskan rumah seperti memasak dan mengemas selain menguruskan keperluan diri kedua-dua anaknya.

"Bangun tidur, saya perlu menyiapkan makanan, mengemas selain uruskan anak sulung dengan memandikan dan memberinya makan.

"Kemudian saya urus anak kedua dan hantar ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Preamble di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar sebelum keluar bekerja.

KENANGAN Kamil dan isteri pada Aidilfitri terakhir.
KENANGAN Kamil dan isteri pada Aidilfitri terakhir.

"Tengah hari, saya jemput anak dari PDK sebelum pulang ke rumah untuk masak dan jaga anak sulung. Sebelum keluar kerja pada sebelah petang, saya perlu tidurkan mereka," katanya yang mengusahakan bendang selain menoreh getah.

Menurut Kamil, dia tinggal bersama bapa mentua, Baki Aruf, 62, yang turut berdepan masalah saraf dan tidak lagi mampu melakukan kerja berat.

"Bagaimanapun, bapa mentua sentiasa memastikan anak terjaga setiap kali saya keluar bekerja," katanya.

Kamil mahu memberikan yang terbaik buat kedua-dua anaknya namun mengakui had kemampuan diri termasuk kekangan kewangan.

"Alhamdulillah, makan pakai cukup cuma saya kesempitan wang untuk membeli keperluan perubatan dan barangan seperti lampin dan susu khas untuk anak sulung yang boleh mencecah sehingga RM1,500 sebulan.

"Selain itu, saya perlu keluarkan belanja untuk membawa anak bongsu bertemu doktor pakar di Pulau Pinang," katanya.

Bagaimanapun, menurut Kamil, demi anak, dia akan terus berusaha melakukan yang terbaik.

Bagi memastikan dia sentiasa tenang dalam menjaga anak, menjalani rutin harian selain sebagai bapa tunggal, Kamil mengatakan yang dia tidak pernah putus berdoa selain sering menunaikan solat Tahajud.

"Sebelum ini, arwah isteri yang banyak menjaga anak dan kini, saya akan pastikan keperluan mereka sentiasa cukup.

"Mungkin sambutan Hari Bapa saya agak berlainan namun kasih sayang saya terhadap kedua-dua anak kekal sepanjang hayat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 7:01 AM