PAVITHRA tidak terfikir untuk menceburi bidang lain. FOTO ihsan Instagram Razzi Musa dan gambar arkib
PAVITHRA tidak terfikir untuk menceburi bidang lain. FOTO ihsan Instagram Razzi Musa dan gambar arkib
Redzuan Muharam


"ITU percubaan pertama dan terakhir saya. Cukuplah sekali saja," kata Youtuber terkenal, S Pavithra.

Pavithra memberi reaksi itu ketika ditanya mengenai pembabitannya sebagai model dalam sebuah penggambaran Ahad lalu.

Percubaan itu mendapat perhatian warganet hingga ada menyangka ibu kepada dua anak itu sudah beralih arah menceburi bidang peragaan.

Pavithra berkata, sejak aktif sebagai Youtuber pada Januari lalu, matlamatnya tetap sama iaitu membantu meringankan beban suami , M Sugu, 29.

Justeru, dia tidak terfikir untuk menceburi bidang lain termasuk menjadi model kerana menganggap kerjaya itu tidak sesuai dengannya.

"Penggambaran baru-baru ini dijalankan untuk sebuah majalah. Saya sangkakan ia biasa saja tetapi lain pula jadinya apabila pelbagai maklum balas diterima daripada pengikut selepas beberapa gambar ketika penggambaran tular di laman sosial.

"Tidak sesuai rasanya untuk saya menjadi model jadi biarlah saya jadi suri rumah dan Youtuber saja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia, suami dan anaknya kini masih dalam proses membiasakan diri dengan perubahan dilalui mereka.

Pavithra turut menafikan sudah berubah selepas terkenal kerana menganggap masih sama seperti dulu.

"Dalam sehari saja, kira-kira 50 panggilan diterima daripada pengikut selain media cetak dan stesen radio yang mahu menemubual saya dan suami.

"Terima kasih, saya hargai. Cuma, sebagai manusia saya juga mahu ada peningkatan dalam diri.

"Jadi perubahan dilihat menerusi apa yang paparkan di Youtube seperti berpindah ke rumah sewa dan membeli barangan keperluan, tapi itu bukan bermakna saya sudah berubah tetapi berusaha ke fasa lebih baik.

"Lagipun, suami sudah berhenti kerja sebagai pemotong buah di estet, jadi kami perlu keluar daripada kuarters dan kini dia mahu fokus bersama saya sebagai Youtuber. Jika ada rezeki, kami merancang untuk membeli rumah sendiri," katanya.

Pasangan sensasi Youtuber yang menetap di Sungai Siput, Perak itu bukan hanya menarik perhatian warganet menerusi kandungan video memasak di Youtube malah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menzahirkan rasa kagum dan menghadiahkan pasangan itu tripod, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik serta barangan memasak.

Muhyiddin turut mencadangkan pasangan itu membuka kedai makan ketika berucap menyampaikan Perutusan Khas Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang disiarkan secara langsung di beberapa saluran televisyen, 5 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 5:47 PM