MOHD Baharudin (kanan) ditenangkan rakannya selepas anaknya dikhuatiri lemas di Sungai Perak berdekatan Kampung Loh, Karai, FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MOHD Baharudin (kanan) ditenangkan rakannya selepas anaknya dikhuatiri lemas di Sungai Perak berdekatan Kampung Loh, Karai, FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


"SEBELUM ini kebiasaannya dia tidur bersama abang kembarnya tapi baru semalam dia tidur bersama saya.

"Sempat juga dia bergurau, peluk dan cium saya semalam," kata Mohd Baharudin Mohd Noor, 38, menceritakan mengenai anak bongsunya yang dikhuatiri lemas.

Muhammad Danish Irfan Mohd Baharudin, 6, dikhuatiri lemas ketika mandi bersama abang kembar serta kakaknya yang berusia tujuh tahun di Sungai Perak berdekatan Kampung Loh, Karai di Sungai Siput, kira-kira 2 petang hari ini.

Turut mandi bersama adalah dua saudara mangsa dalam lingkungan usia sebaya, dengan ditemani ibu saudara mangsa yang juga adik ipar Mohd Baharudin berusia 27 tahun.

Mohd Baharudin berkata, dia tidak menyangka kelakuan ditunjukkan anak bongsunya itu sebagai petanda dia sekeluarga akan mengalami detik hiba khususnya jika ditakdirkan anaknya itu dijumpai dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

"Dia memang amat rapat dengan saya berbanding dengan ibunya. Tiada apa yang saya minta melainkan biarlah jasad anak saya dijumpai dalam keadaan masih sempurna (sekiranya dijumpai sudah tidak bernyawa).

"Saya nelayan sungai ini serta pernah beberapa kali terbabit sama dalam operasi mencari mangsa lemas di sini.

"Jadi saya tahu bahawa jasad manusia yang berada di air melebihi tiga hari akan mula mereput," katanya ketika ditemui semasa operasi mencari anaknya itu yang turut disertainya menaiki bot.

Bapa tiga anak itu berkata, ada juga kelainan pada riak wajah anaknya itu yang dilihat agak ceria berbanding biasa pagi hari ini.

Katanya, dia juga agak ralat dengan sifatnya yang agak kurang bercakap termasuk dengan keluarganya.

"Kenangan manis terakhir antara saya dengannya (Muhammad Danish Irfan) adalah ketika saya membawa kami lima sekeluarga membeli pakaian baharu di Ipoh sejurus PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) dilaksana baru-baru ini.

"Memang dia anak paling rapat dengan saya dan ketika dia tidur bersama saya semalam pun, seakan tidak terungkap di perkataan saya apabila dia memeluk dan mencium (mengucup) saya.

"Itu yang buatkan saya sangat terasa (jika kehilangannya)," katanya.

Beliau berkata, dia serta adik-beradiknya yang lain pada mula sudah melarang mereka andi di sungai itu memandangkan tahu selok-belok air sungai itu yang parasnya secara tiba-tiba boleh meningkat dan berarus deras biarpun cetek pada mulanya.

"Dua tiga hari kebelakangan ini memang mereka gemar mandi di situ biarpun saya dan adik-beradik lain sudah melarangnya. Tambahan pula boleh dikatakan hampir setiap tahun akan ada kes lemas di Sungai Perak sekitar kawasan ini.

"Mengikut pengetahuan saya belum ada kes pada tahun ini. Tak sangka anak saya yang jadi mangsa kali ini," katanya.

Sehingga 9.15 malam ini, usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan.

Berita berkaitan

Tragedi mandi Sungai Perak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 10:15 PM