X
MOHD Ariff mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan mengubah suai kenderaan OKU. FOTO Ihsan Mohd Ariff Abdullah
MOHD Ariff mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan mengubah suai kenderaan OKU. FOTO Ihsan Mohd Ariff Abdullah
Redzuan Muharam


KEINGINAN membantu golongan senasib mendorong pesakit cedera saraf tulang belakang (Spinal Cord Injury) dan lumpuh separuh badan, Mohd Ariff Abdullah mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan mengubah suai kenderaan Orang Kurang Upaya (OKU).

Mohd Ariff, 45, yang menetap di Alor Setar, Kedah berkata, idea untuk menawarkan perkhidmatan itu tercetus sejak 1999, setahun selepas dia menghidap penyakit berkenaan yang juga menyebabkannya hilang keupayaan untuk berjalan.

Bagaimanapun, katanya, impian itu hanya dapat direalisasikan selepas beberapa tahun membuka bengkel kimpalan pada 2006.

"Saya disahkan OKU pada 1998 akibat penyakit yang berpunca daripada saraf dan kehilangan upaya untuk berjalan menyebabkan saya rasa rendah diri hingga mengalami kemurungan selama dua tahun.

"Ia juga berpunca daripada kurangnya pendedahan mengenai OKU ketika itu berbanding sekarang tetapi saya mula dapat menerima kenyataan dengan sokongan isteri (ketika itu teman wanita) yang banyak memberi sokongan untuk bangkit meneruskan hidup.

"Bermula dengan berniaga kecil-kecilan dengan menjual nasi lemak, burger dan cili fertigasi, saya kemudiannya menceburi perniagaan dengan membuka bengkel kimpalan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MOHD Ariff bersama isterinya. FOTO Ihsan Mohd Ariff Abdullah
MOHD Ariff bersama isterinya. FOTO Ihsan Mohd Ariff Abdullah

Berbekalkan kemahiran yang ada ketika menjadi mekanik di sebuah syarikat automotif sebelum bergelar OKU, Mohd Ariff kemudiannya mengembangkan perniagaannya dengan menawarkan perkhidmatan mengubahsuai kenderaan OKU iaitu kereta, motosikal dan kerusi roda.

Katanya, inisiatif itu sekurang-kurangnya dapat memudahkan komuniti OKU, terutama mereka yang menetap di utara tanah air.

"Mulanya saya hanya menawarkan perkhidmatan ini untuk permintaan rakan terdekat saja.

"Menyedari kepentingannya, saya nekad mengambil tempahan secara konsisten untuk keperluan OKU yang memerlukan memandangkan sebelum ini perkhidmatan itu lebih tertumpu di Kuala Lumpur saja.

"Alhamdulillah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi kerjasama yang baik dengan memberi garis panduan untuk melakukan pengubahsuaian dan sehingga kini, permintaan sentiasa ada cuma terjejas ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu," katanya yang dibantu dua pekerja OKU di bengkel miliknya.

Menurut Mohd Ariff, kepuasannya adalah selepas melihat perubahan positif pelanggan selepas mendapatkan perkhidmatannya.

"Paling puas apabila melihat pelanggan yang dulunya tidak berani memandu tetapi kini ada keberanian selepas kenderaan mereka diubahsuai.

"Begitu juga selepas melihat pelanggan sudah mahir memandu walaupun ada dalam kalangan mereka tidak pernah menyangka boleh melakukannya.

"Diharap, saya ada peluang untuk terus membantu dan jika ada rezeki, saya mahu mengembangkan lagi perniagaan yang semakin mendapat sambutan menerusi tempahan pelanggan dari seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 9:30 PM