NURUL Shahzamul berniaga nasi lemak seawal 7 pagi dan selepas itu, dibantu anaknya menjual jagung di pekan Rawang. FOTO Nurul Shahzamul Hidayah Mohd Sham.
NURUL Shahzamul berniaga nasi lemak seawal 7 pagi dan selepas itu, dibantu anaknya menjual jagung di pekan Rawang. FOTO Nurul Shahzamul Hidayah Mohd Sham.
Redzuan Muharam


BIARPUN usia kandungannya kini tujuh bulan, Nurul Shahzamul Hidayah Mohd Sham masih gigih mencari rezeki dengan menjual nasi lemak dan jagung demi membesarkan enam anaknya.

Nurul Shahzamul, 29, yang menetap di Taman Idaman, Serendah, berkata, perniagaan itu mula dijalankan sejak bermulanya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan dibantu adik iparnya, Munirah Maiden, 21.

Menurutnya, dia terpaksa keluar mencari rezeki kerana hilang tempat bergantung selepas ditinggalkan suami tanpa alasan, Februari lalu.

"Dulu, saya suri rumah sepenuh masa, tetapi kini tiada pilihan kecuali mencari rezeki dengan berniaga kerana perlu membesarkan enam anak berusia antara 16 bulan hingga 10 tahun dan menyediakan wang sebagai persediaan menyambut kelahiran anak ketujuh tidak lama lagi.

"Lagipun, saya lebih selesa berusaha kerana enggan meminta-minta atau menyusahkan sesiapa.

"Idea untuk berniaga jagung ini tercetus selepas melihat usaha rakan membuahkan hasil dan dari situ, timbul keinginan untuk mencuba," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nurul Shahzamul berkata, rutin hariannya bermula 7 pagi dengan berniaga nasi lemak di hadapan bank di pekan Rawang sehingga 9 pagi.

Selepas itu, Nurul Shahzamul berniaga jagung pula di hadapan stesen minyak di pekan Rawang bermula 11 pagi hingga jagung habis dijual.

"Memandangkan anak masih kecil, saya minta bantuan keluarga mentua yang tinggal tidak jauh dari rumah untuk menjaga mereka.

"Mulanya, hasil perniagaan saya biasa-biasa saja tetapi kini jualan memberangsangkan dan boleh meraih untung antara RM200 hingga RM300 sehari.

"Alhamdulillah, sambutan semakin memberangsangkan dan di luar jangkaan, kemungkinan impak daripada perkongsian kisah saya yang dimuat naik adik ipar di Twitter, tempoh hari kerana sejak itu, ramai datang membeli," katanya.

Nurul Shahzamul berkata, dia berterima kasih kepada semua yang menyokong perniagaannya sejak awal hingga kini.

Katanya, dia mengharapkan sokongan itu berterusan kerana memberi semangat untuk terus mencari rezeki bagi membesarkan anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 8:30 PM