SHARIFAH Sakinah berpisah dengan Aliff Adha pada Mei lalu.
SHARIFAH Sakinah berpisah dengan Aliff Adha pada Mei lalu.
Georgie Joseph


"SAYA sedar banyak kekurangan pada diri dan tidak boleh menjadi isteri yang baik untuknya," kata pelakon Sharifah Sakinah, 31, mengesahkan dia sudah bercerai dengan suaminya, Aliff Adha pada Mei lalu dan sudah tidak tinggal sebumbung sejak Mac.

Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 31, berkata, perpisahan itu berlaku secara baik dan bukan berpunca daripada orang ketiga.

"Kami berpisah secara baik pada Mei lalu. Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira anak kami, Anais Adha yang kini berusia tiga tahun. Ia bukan sebab orang ketiga," katanya.

Spekulasi hubungan mereka sudah terlerai juga menjadi bualan selepas dakwaan Aliff menggunakan aplikasi mencari pasangan di Internet tersebar.

Enggan mengulas lanjut perkara itu, Sakinah sebaliknya mendoakan kebahagiaan bekas suaminya itu dan berkata, dia tidak berhak masuk campur urusannya.

"Berkenaan hal dia menggunakan aplikasi 'dating', itu haknya. Saya tak mahu masuk campur dan dia bebas buat apa dia nak. Biarlah saya dan dia bahagia dengan cara masing-masing. Itulah yang sebaik-baiknya," katanya.

Terdahulu, status perkahwinan mereka menjadi tanda-tanya ramai apabila Sakinah sudah tidak mengemas kini berhubung hubungan mereka di media sosial.

Sakinah dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 28 Mac 2018 dan dikurniakan seorang anak perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 6:48 PM