X
EMPAT maut dalam kemalangan  di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring), malam kelmarin. (Gambar kecil dari atas), Noriskandar, Afif Safwan, Wan Ahmad Adam Murshidy dan Zulkarnain Buniyami.
EMPAT maut dalam kemalangan di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring), malam kelmarin. (Gambar kecil dari atas), Noriskandar, Afif Safwan, Wan Ahmad Adam Murshidy dan Zulkarnain Buniyami.
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring) di sini malam kelmarin, sempat membelikan sehelai baju baru untuk anak sulungnya yang dijangka dilahirkan pada September nanti.

Wan Ahmad Adam Murshidy Wan Rosli, 24, seorang daripada empat mangsa yang maut ada belikan baju itu beberapa jam sebelum terbabit dalam kemalangan terbabit.

Isteri kepada Wan Ahmad, Nur Ismalinda Muzafar, 25, berkata, dia tidak menyangka baju bayi itu menjadi hadiah terakhir suaminya untuk anak sulung mereka.

"Tengah hari semalam (kelmarin), saya bersama suami ada keluar bersama dan ketika berada di sebuah kedai, arwah suami nampak baju yang cantik dan beritahu mahu belikan untuk anak kami yang dijangka lahir pada 16 September ini.

"Memang saya tak syak apa-apa bila arwah cakap nak beli baju itu, rupa-rupanya itu hadiah terakhirnya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu, semalam.

Nur Ismalinda berkata, suami bersama abangnya, Noriskandar Muzafar, 33, serta tiga lagi rakan mereka bertolak untuk ke Perak pada jam 4 petang kelmarin atas urusan kerja.

"Sebelum bertolak, suami kejut suruh saya bangun tidur dan beritahu sudah mahu bertolak.

"Saya sempat bersalam dengannya dan dia ada gosok kepala dan perut saya, tetapi ia sudah menjadi kebiasaan cuma ketika itu kelihatan suami ceria dan gembira.

"Arwah suami dan abang memang rapat cuma mereka nampak lebih akrab sejak seminggu lalu dan selalu bersama," katanya.

Nur Ismalinda berkata, mesej terakhir suami diterimanya jam 4.30 petang yang mengingatkannya untuk memberi kucing makan.

"Saya ada mesej suami melalui aplikasi WhatsApp jam 7.30 malam tadi (kelmarin), tetapi tiada jawapan dan tidak syak apa-apa.

AHLI keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan di Kuala Terengganu.
AHLI keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan di Kuala Terengganu.

"Saya tahu mengenai kemalangan itu selepas dihubungi polis jam 11 malam dan memaklumkan suami sudah tiada," katanya yang tinggal di Kuala Nerus.

Selain suami, nahas itu turut meragut nyawa abang kepada Nur Ismalinda, Noriskandar.

Jenazah Wan Ahmad Adam Murshidy dan Noriskandar dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kuala Nerus dan Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu.

Dalam kejadian itu, Noriskandar yang memandu Toyota Vios, Wan Ahmad yang duduk di tempat penumpang hadapan dan penumpang belakang, Zulkarnain Buniyami, 18, meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa, Afif Safwan Mohd Zuki, 21, disahkan meninggal dunia jam 10.17 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Mohamad Rusydi Md Said, 26, yang juga penumpang kereta berkenaan parah dalam kejadian itu dan turut dihantar ke HSNZ Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Treler itu membawa muatan bijih besi amang dalam perjalanan dari arah Gua Musang, Kelantan menghala ke Pelabuhan Gebeng, Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 8:01 AM