PUTERA Amirul (tiga dari kiri) bersama Shaheizy Sam bergambar dengan RX-Z Millenium berharga RM70,000. FOTO ihsan Tuan Putera Amirul Tuan Muda
PUTERA Amirul (tiga dari kiri) bersama Shaheizy Sam bergambar dengan RX-Z Millenium berharga RM70,000. FOTO ihsan Tuan Putera Amirul Tuan Muda
Ahmad Rabiul Zulkifli


"SAYA sangat teruja apabila wakil Shaheizy Sam menghubungi saya dan memberitahu pelakon itu mahu berjumpa serta melihat sendiri motosikal RX-Z Millenium itu," kata Tuan Putera Amirul Tuan Muda, 27, yang tular di media sosial selepas mahu menjual RX-Z Millenium pada harga RM70,000.

Putera Amirul berkata, selepas kisah motosikalnya dilaporkan akhbar dan menjadi tular, banyak pihak termasuk peminat RX-Z yang menghubunginya untuk berjumpa.

"Bagaimanapun tidak semua permintaan mereka dapat saya penuhi dan menunjukkan motosikal RX-Z Millenium itu kerana faktor keselamatan.

"Namun saya tidak mampu menolak apabila pelakon terkenal dan diminati, Shaheizy Sam berhajat berjumpa saya dan melihat motosikal yang tular di media sosial itu.

"Memang seronok dapat berjumpa pelakon dan lebih manis apabila dipelawa berlakon bersama Shaheizy Sam dalam video pendek terbitannya di Pantai Teluk Lipat, Dungun," katanya hari ini.

Dia berkata, motosikal RX-Z Millenium itu sudah dibeli oleh seorang ahli perniagaan dan pembeli itu sudah membayar wang pendahuluan sebanyak RM30,000.

Dalam tempoh terdekat baki RM39,000 lagi akan dibayar dan motosikal itu akan diberikan kepada pemilik baru itu.

"Jika diikutkan saya hendak jual RM70,000 tetapi memandangkan pembeli sangat berminat dan datang daripada jauh seterusnya membabitkan kos pengangkutan saya bersedia turunkan harga kepada RM69,000," katanya.

Menurutnya, dia dalam proses menyiapkan motosikal RX-Z Boss keluarkan 1994 dan sudah membelanjakan lebih RM35,000 bagi mengumpul komponen barang baru tetapi stok lama (NOS) untuk memastikan ia 100 peratus sama seperti motosikal yang baru keluar dari kilang.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan Tuan Putera Amirul Tdari Kampung Paka ingin menjual motosikal RX-Z Millenium keluaran 2000 dengan harga RM70,000 selepas mendakwa membelanjakan lebih RM50,000 untuk membaik pulih motosikal itu.

Berita berkaitan

'Memang saya jual RX-Z Millenium RM70,000' - Putera Amirul [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 12:00 PM