GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


LIMA kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini, membabitkan empat penularan tempatan dan satu kes import.

Bagaimanapun, tiada pertambahan kematian direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan lima kes itu menjadikan jumlah kumulatif Covid-19 di Malaysia kini 8,734 kes.

"Daripada empat kes penularan dalam negara, satu kes adalah bukan warga negara iaitu kes saringan bergejala di Kuching, Sarawak. Beliau dimasukkan ke Hospital Umum, Sarawak untuk rawatan.

"Tiga kes lagi adalah satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Sungai Buloh dan dua di Sarawak iaitu, satu kes saringan kontak rapat kes positif Covid-19 ke-8732 serta satu kes saringan petugas kesihatan di sebuah pusat perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi kes import pula mendapat jangkitan di luar negara membabitkan bukan warga negara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

Selain itu, beliau Dr Noor Hisham berkata, setakat jam 12 tengah hari ini sebanyak dua kes pulih dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 8,526 atau 97.6 peratus.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 86 kes. Mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan," katanya.

Katanya, sebanyak lima kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 5:15 PM