GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Azizah Mokhtar

"DIA memang tiada sakit apa-apa. Dia seorang anak yang sihat dan tiada sejarah penyakit selama ini."

Begitu kata wanita dikenali sebagai Nora, 51, ibu kepada Amiruddin Naim Ariffin, 15, yang pengsan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras, tanpa sempat memulakan hari pertama persekolahan yang dibuka semula, semalam.

Ketika kejadian, Amiruddin bersama pelajar lain dikatakan sedang mendengar taklimat guru berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi bagi mencegah penularan Covid-19 di dalam kelas.

Nora berkata, kali terakhir dia bercakap dengan Amiruddin adalah sebelum anaknya itu keluar untuk ke sekolah kira-kira jam 7 pagi.

"Dia berjalan ke sekolah dengan beberapa rakan kerana kediaman kami terletak tidak jauh dari sekolah.

"Kira-kira jam 7.50 pagi (semalam), saya mendapat panggilan telefon daripada seorang gurunya yang menyatakan anak pengsan sebelum terus bergegas ke sekolah untuk melihat keadaannya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Amiruddin kemudian dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras di sini, dengan ambulans namun disahkan meninggal dunia sejurus sampai di hospital untuk rawatan.

Menurut Nora, Amiruddin yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu berada dalam keadaan sihat dan tiada menunjukkan sebarang gejala penyakit.

"Saya pun tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya dan menunggu keputusan bedah siasat yang dijalankan pihak hospital," katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Berita berkaitan

Pelajar meninggal dunia selepas pengsan dalam kelas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 7:30 AM