X
Nurul Hidayah Bahaudin

PENGANGGUR mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan membunuh tiga kucing dengan melemaskan haiwan itu dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong, Ahad lalu.

Tertuduh, Muhammad Najwan Zulkefli, 24, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terbabit dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Muhammad Najwan dituduh atas dakwaan dengan kejam atau secara tidak munasabah membuat atau meninggalkan untuk melakukan apa-apa perbuatan menyebabkan kesakitan atau penderitaan tidak sepatutnya kepada tiga kucing berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di Premis Dobi Layan Diri Atlantis, Blok 3, Desa Satu Apartment Desa Aman Puri, Kepong di Gombak pada 5 hingga 6.30 pagi, 12 Julai lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Subseksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 29 (1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 atau tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor N Nageswara memohon mahkamah supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemerhatian dan penelitian memandangkan perwatakan tertuduh tidak stabil.

Mahkamah kemudiannya membenarkan lelaki itu ditempatkan di hospital berkenaan untuk pemeriksaan lanjut selama sebulan dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 13 Ogos nanti.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan bangkai tiga kucing berkenaan ditemui seorang wanita selepas dipercayai dibunuh dengan dilemaskan di dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi di Kepong.

Lelaki itu yang dikatakan kurang siuman dan hidup gelandangan selepas kematian ibu bapanya diserahkan kepada JPV bagi membantu siasatan selepas ditemui penduduk di Aman Puri, Kepong.

 Anggota penguat kuasa JPV mengiringi Muhammad Najwan di Mahkamah Majistret Selayang hari ini. Foto Fathil Asri
Anggota penguat kuasa JPV mengiringi Muhammad Najwan di Mahkamah Majistret Selayang hari ini. Foto Fathil Asri

Berita berkaitan

'Bangkai kucing dihantar ke makmal'

'Lelaki bunuh kucing direman 4 hari'

'Pembunuh' kucing kurang siuman'

'Hidung berdarah, mulut berbuih...'

Kejam, melemaskan tiga kucing dalam mesin basuh [METROTV]

Lelaki bunuh kucing didakwa esok

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 10:49 AM