X
SURAT rasmi Mohamad Hilmi yang tular di laman sosial. FOTO ihsan Mohamad Hilmi Che Hasan
SURAT rasmi Mohamad Hilmi yang tular di laman sosial. FOTO ihsan Mohamad Hilmi Che Hasan
Redzuan Muharam


"SELEPAS membaca surat itu, saya tergelak kerana tahu apa suami hanya gurauan. Saya tak kisah suami beli desktop idaman kerana dia sudah lama menyimpan keinginan itu," kata Aziana Abdullah.

Kisah pasangan itu mendapat perhatian selepas Aziana, 28, memuat naik gambar surat permohonan rasmi membeli desktop khusus untuk bermain permainan video, melakukan suntingan dan penstriman daripada suaminya, Mohamad Hilmi Che Hasan, 29, malam tadi.

Mohamad Hilmi menulis surat dalam format rasmi dengan menggunakan nama panggilannya sebagai kata ganti nama.

"Suami pernah menyuarakan hasrat membeli desktop sebelum ini cuma saya tidak sangka dia gigih menulis surat permohonan itu.

"Dia hantar surat itu menerusi aplikasi WhatsApp selepas kami makan malam bersama dan saya hanya mampu ketawa kerana rasa lucu dengan apa yang dilakukannya itu.

"Cuma, saya terkejut bagaimana hantaran saya itu boleh tular kerana tidak begitu aktif di Facebook (FB) dan selama ini, saya hadkan paparan untuk rakan saja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Mohamad Hilmi berkata, idea menulis surat itu datang secara spontan dan hanya dihantar kepada isterinya menerusi aplikasi Whatsapp .

Menurutnya, dia tidak sangka surat itu akhirnya tular di laman sosial selepas isterinya memuat naiknya di laman sosial.

"Niat saya hanya untuk menyampaikan hasrat dengan cara bergurau tetapi lain pula jadinya.

"Mujurlah isteri memahami gurauan itu dan hanya ketawa ketika membaca surat berkenaan.

"Cuma, segelintir warganet menganggap saya melakukannya untuk pemasaran sedangkan bukan itu niat sebenarnya," katanya.

Mohamad Hilmi berkata, sejak awal perkahwinan lagi, dia menginginkan desktop berkenaan tetapi kemudiannya mengubah fikiran untuk membeli motosikal.

"Isteri tidak galakkan saya beli motosikal kerana bimbang dengan keselamatan dan selepas sekian lama, timbul semula keinginan untuk membeli komputer.

"Lagipun, sebelum berumah tangga, saya minat bermain permainan video tetapi sudah lama meninggalkannya sejak bekerja.

"Kini, saya bercadang untuk aktif semula tetapi sedang mengumpul wang bagi membeli desktop. "Saya ada membaca komen warganet dan hanya ambil yang positif dan abaikan kata-kata negatif," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 10:10 PM