ANGGOTA Floor 88 (berdiri dari kiri) Akram, Achoi, Eric, Falique, Amir (duduk) dan Ayie.
ANGGOTA Floor 88 (berdiri dari kiri) Akram, Achoi, Eric, Falique, Amir (duduk) dan Ayie.
Norhayati Nordin

WALAUPUN ditubuhkan pada 2007, bakat bermain muzik dan nyanyian kumpulan Floor 88 betul-betul menyerlah pada 2017 dengan lagu Zalikha.

Sejak itu, populariti Floor 88 terus melonjak apabila menjadi perhatian pendengar termasuk peminat mereka dengan lagu seterusnya seperti Aqilah, Roadblock Hatiku dan Hutang.

Dianggotai Ayie Elham selaku penyanyi, Floor 88 dilengkapkan dengan gabungan Eric Fuzi sebagai pemain keyboard, Achoi (gitar utama), Falique (bass), Amir (gitar kedua) dan Akram (dram).

Justeru, untuk tahun ini Floor 88 sempat melancarkan lagu baharu berjudul Yang Benar pada Februari lalu, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara akibat Covid-19 oleh kerajaan.

Namun, pada Mei lalu juga ketika PKP, Floor 88 ada menghasilkan satu lagu khas berjudul Ke Sana Ke Sini yang setakat ini video muzik di YouTube mencatat 663,000 tontonan dalam tempoh dua bulan.

Mengulas perkembangan terkini kumpulan itu, Eric berkata, jika ada rezeki mereka akan terbabit dengan satu penggambaran telefilem terbaharu Floor 88 yang skripnya ditulis bersama.

"Insya-Allah, Floor 88 akan berlakon lagi. Saya dan abang ipar bersama Ayie serta seorang rakan kami, bergabung untuk menyiapkan satu naskhah skrip. Harapnya, usaha ini akan jadi kenyataan.

"Alhamdulillah Floor 88 tetap sibuk dengan pelbagai aktiviti seni. Rezeki masih ada biarpun kini kita tahu seluruh dunia berhadapan dengan penularan pandemik. Urusan berkarya tetap diteruskan," katanya.

Mengulas juga perihal Ayie yang dikaitkan dengan penggunaan bahan terlarang kerana terlalu kurus, Eric berkata, sikap prejudis masyarakat terhadap pemuzik berkumpulan tidak boleh dielak.

"Apatah lagi, apabila dengan tubuh kecil itu Ayie juga selalu agresif membuat persembahan di atas pentas, jadi pasti ada segelintir masyarakat yang mempunyai stigma negatif sebegini.

FLOOR 88  tetap sibuk dengan aktiviti seni malah sempat  hasil lagu khas ketika PKP.
FLOOR 88 tetap sibuk dengan aktiviti seni malah sempat hasil lagu khas ketika PKP.

"Saya melihat perkara ini (membuat tuduhan tak berasas) sudah sebati dalam masyarakat. Namun, mereka tidak tahu bahawa Floor 88 adalah ikon Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Penghargaan ini, tidak mudah dimiliki oleh kami kerana sebelum dipilih Floor 88 terlebih dahulu harus membuat ujian saringan air kencing bagi memastikan bersih daripada bahan terlarang itu," katanya.

Menurut Eric, dia melihat ia sebagai cabaran besar buat Floor 88 dalam usaha mereka mengikis stigma berkenaan yang amat sinonim dengan masyarakat sejak sekian lama.

Tak layan komen negatif

Menyedari era kemodenan teknologi pada masa kini lebih memberi ruang untuk golongan warganet memberi komen dan mengkritik, Eric berkata, Floor 88 selesa melihat positif.

Katanya, biarpun tidak dapat mengelak daripada menerima kritikan negatif tetapi mereka bertindak secara matang. Jika komen diberi agak keterlaluan, memang tidak dilayan.

"Alhamdulillah, setakat ini Floor 88 tidak cepat melatah dengan komen negatif daripada warganet. Bagi kami, biarlah mereka nak kritik apa kerana ia hak masing-masing.

"Cuma, kenapa kami tidak suka melayan kerana ia kritikan kurang berasas. Jadi, buat apa nak layan kalau memang kita tak buat. Biarkan dan tak usah peduli langsung," katanya.

Ditanya tidakkah Floor 88 terasa hati walau sedikit pun, Eric berkata, berpandangan positif sangat banyak manfaatnya. Apatah lagi, kita juga dapat bertindak secara tenang.

"Saya melihat konsep kritikan warganet yang menjurus negatif ini, inginkan perhatian. Justeru, memandangkan kita pun tak kenal siapa mereka, lebih baik abaikan sahaja.

"Malah, lebih bagus jika ambil kritikan diberi itu sebagai cabaran. Mana yang kurang, lebih baik Floor 88 perbaiki. Jadi, tidaklah kita kelihatan seperti syok sendiri dan tidak boleh ditegur," katanya.

Eric berkata, dia tetap mengucapkan terima kasih kepada golongan warganet kerana di sebalik kritikan itu sebenarnya masih ada sokongan yang diberi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 6:00 AM