REMAJA 14 tahun maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas dan merempuh tiang bangunan sebuah bank di Perling, malam tadi. FOTO ihsan Polis
REMAJA 14 tahun maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas dan merempuh tiang bangunan sebuah bank di Perling, malam tadi. FOTO ihsan Polis
Omar Ahmad


TINDAKAN remaja lelaki 14 tahun memandu kereta tanpa pengetahuan bapa berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Persisiran Perling, Johor Bahru tengah malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Fariz Ammar Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu Proton Wira dipandu mangsa dari arah Perling menghala ke Bandar Baru Uda terbabas dan merempuh tiang bangunan sebuah bank.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa dikatakan mengambil kunci kereta milik bapanya tanpa kebenaran.

"Kemalangan turut menyebabkan rakannya yang berusia 25 tahun cedera ringan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 5:43 PM