Murni Wan Omar dan Muhaamad Hafis Nawawi

[email protected]

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi atas selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam keputusannya memerintahkan Najib dipenjarakan 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

"Jika gagal bayar denda itu, boleh dipenjarakan lima tahun.

"Bagi tiga pertuduhan pecah amanah, hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

"Manakala bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram pula, penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

"Bagaimanapun semua hukuman ini berjalan serentak," katanya.

Dalam prosiding di sebelah pagi, mahkamah mensabitkan Najib atas semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V.Sithambaram manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan.

Ketika ini, Najib sedang mengemukakan rayuan bagi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda.

Terdahulu, mahkamah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan rayuan bagi meringankan hukumannya yang disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pada Isnin ini.

Mohd Nazlan memutuskan bahawa pihak pembelaan perlu mempunyai alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.

"Alasan pembelaan bahawa mereka memerlukan masa untuk melihat latar belakang kes yang saya sabitkan kepada Najib tidak boleh diterima," katanya.

Oleh itu beliau memutuskan rayuan meringankan hukuman diteruskan hari ini.

NAJIB hadir bagi perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
NAJIB hadir bagi perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Najib, perdana menteri keenam dari 2009 hingga 2018, menjadi ketua negara pertama di Malaysia yang diheret ke mahkamah.

Perbicaraan bermula pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama.

Pada 11 November 2019, Najib diarahkan membela diri atas kesemua pertuduhan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 3 Disember 2019, Najib memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan untuk menjawab pertuduhan terhadapnya dengan membaca penyataan saksi setebal 243 muka surat.

Pada 5 Jun lalu, mahkamah menetapkan hari ini untuk mengumumkan keputusan dalam kes itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan yang bermula pada 1 Jun.

Najib pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Julai 2018 atas tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Seterusnya pada 8 Ogos 2018, Najib sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Semua kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan dibicarakan bersama.

Berita lanjut menyusul

Berita Berkaitan

  • 'Wallahi, wabillahi, watallahi, saya tak tahu RM42 juta itu' - Najib
  • Mahkamah tolak permohonan tangguh, hukuman Najib hari ini
  • Penyokong Najib akan dikompaun jika degil tak patuh SOP
  • Datang ke mahkamah lepas Subuh
  • Pasukan Najib mahu rayuan ringan hukuman ditangguhkan
  • Kes SRC: Najib bersalah! [METROTV]
  • Warganet risau wujud kluster Najib
  • Kronologi kes SRC
  • Najib tiba di mahkamah
  • Kes SRC: Hanya 10 media dibenar masuk mahkamah>
  • Kes SRC: Ratusan penyokong hadir ke mahkamah
  • Nasib Najib ditentukan 10 pagi ini
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 6:32 PM