PENUNTUT Malaysia di Yaman menghadapi pelbagai kesulitan  dan berharap dapat segera dibawa pulang ke tanah air.
PENUNTUT Malaysia di Yaman menghadapi pelbagai kesulitan dan berharap dapat segera dibawa pulang ke tanah air.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


"TOLONG bawa kami pulang. Ada yang sarat mengandung...ada yang menghidap penyakit kronik serta kanser tahap dua.

"Keadaan di Yaman tidak mengizinkan kerana sektor kesihatan mereka kekurangan tambahan pula penutupan pintu sempadan mengakibatkan ada bekalan ubat terputus."

Demikian rayuanpenuntut Malaysia di Yaman, Irfan Nazhan Mohd Nasri memaklumkan keadaan terkini penuntut Malaysia di negara Timur Tengah berkenaan.

Beliau yang juga Presiden Permaya Cawangan Hadramaut berkata, ada dalam kalangan rakannya menghidap kanser tahap dua serta sarat mengandung yang memerlukan pemeriksaan segera.

"Malangnya, di sini (Yaman) sektor kesihatan serta perubatan kurang efisien berbanding negara Arab lain. Bekalan ubat-ubatan juga sering terputus.

"Kami harap kerajaan Malaysia dapat bawa kami pulang menerusi penerbangan khas kerana sebelum ini empat kali usaha untuk membawa keluar penuntut dilakukan namun gagal atas beberapa faktor terutamanya isu keselamatan di negara ini.

"Ada rakan saya memegang pasport hampir tamat tempoh. Jika tiada usaha membawa keluar kami dalam masa terdekat mungkin urusan pembaharuan pasport kelak lebih sulit atau penuntut menghidap penyakit kronik berdepan risiko kesihatan," katanya kepada Harian Metro menerusi kiriman WhatsApp.

Irfan Nazhan berharap supaya penuntut Malaysia yang berisiko tinggi diberikan keutamaan untuk pulang ke tanah air memandangkan mereka memerlukan pemeriksaan secepat mungkin.

"Pastinya jika mereka pulang, kelengkapan sektor perubatan di Malaysia jauh lebih baik berbanding di Yaman. Kami berdoa supaya urusan kerajaan dipermudahkan dengan keizinan Tuhan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 7:00 AM