Mohd Rashidi Yusuf.


LIMA individu bernasib baik apabila berjaya keluar untuk menyelamatkan diri apabila kenderaan mereka dipijak gajah yang mengamuk selepas sebuah kereta lain membunyikan hon.

Kejadian menakutkan itu dipercayai berlaku di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik, kira-kira jam 7 malam tadi.

Kenderaan itu dikatakan menghala ke Perak dari Kelantan dan kejadian berlaku tidak jauh dari Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Puncak Banjaran Titiwangsa.

Seorang pemandu sebuah kenderaan yang juga datang dari arah Kelantan yang tidak dikenali mendakwa dia mendapat tahu cerita itu daripada seorang mangsa.

"Puncanya begini, semasa gajah di tengah jalan mereka memberhentikan kereta, tiba-tiba kereta belakang membunyikan hon.

"Kereta belakang hon, gajah bangun mengamuk pijak bonet kereta mereka, lima orang dalam kereta itu nasib baik sempat keluar dan lari tinggalkan kereta," katanya menerusi satu pesanan suara.

Berdasarkan individu berkenaan, kelima-lima mangsa terpaksa menumpang kenderaan lain untuk berpatah balik dan berhenti di Hentian (R&R) Puncak Banjaran Titiwangsa.

Katanya lagi, isteri pemandu kenderaan terbabit menangis apabila diberitahu kereta mereka rosak dipijak gajah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, kenderaan mangsa mengalami kerosakan kecil.

"Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, kakitangan sudah dihantar ke lokasi bagi melakukan siasatan lanjut dan pemantauan.

Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan pemandu supaya bersabar dan tidak memasang lampu tinggi ketika melalui kawasan berkenaan pada waktu malam.

"Jangan bunyikan hon atau paling penting jangan cuba menghalau gajah berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 8:32 AM
RAKAMAN kejadian yang dimuat naik di media sosial.
RAKAMAN kejadian yang dimuat naik di media sosial.