ANTARA warga asing dan rakyat tempatan yang disambut petugas barisan hadapan sebaik tiba dari KLIA.
ANTARA warga asing dan rakyat tempatan yang disambut petugas barisan hadapan sebaik tiba dari KLIA.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


"GOLONGAN kluster kayangan belum pupus. Namun kali ini majoritinya adalah dalam kalangan warga asing yang diarah menjalani proses kuarantin wajib 14 hari di hotel," kata seorang petugas frontliner (barisan hadapan) yang menyeliakan pusat kuarantin di sebuah hotel di ibu kota.

Mendedahkan perkara itu, dia yang turut berpengalaman mengendalikan pusat kuarantin sejak Februari lalu mendakwa ramai petugas barisan hadapan terpaksa melayan pelbagai kerenah individu yang diarahkan menjalani kuarantin sebaik tiba di tanah air.

"Berbanding sebelum ini, kluster kayangan kerap dikaitkan dengan warga tempatan namun kini keadaannya berbeza apabila golongan banyak ragam ini membabitkan warga asing.

"Ramai individu dalam pemerhatian (PUS) warga asing ini tidak faham arahan mereka akan dikuarantin selama 14 hari sebaik mereka masuk ke Malaysia. Ini menyebabkan berlaku suasana tegang ketika proses pendaftaran PUS di hotel.

"Ada antara mereka meninggikan suara dan ada pula yang tidak mahu dikuarantin. Malah, pelbagai alasan diberikan termasuk ada yang memarahi kami," katanya,

Menurutnya, ada juga golongan kluster kayangan ini memberi alasan tidak mempunyai wang mencukupi untuk tinggal di hotel walaupun ada antara mereka daripada golongan berada.

PETUGAS barisan hadapan membabitkan kakitangan KKM dan APM yang kepenatan tertidur di lantai hotel apabila perlu bertugas hingga ke Subuh.
PETUGAS barisan hadapan membabitkan kakitangan KKM dan APM yang kepenatan tertidur di lantai hotel apabila perlu bertugas hingga ke Subuh.

"Mereka tidak mahu membayar caj hotel ditetapkan. Oleh itu ada antara mereka terpaksa dihantar ke Institut Latihan Awam (ILA) yang dijadikan pusat kuarantin.

"Terdapat juga PUS yang memilih hotel dan mahu dipindahkan ke hotel lain dengan alasan tidak selesa atau mahukan hotel lebih mewah," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis, Rela, pihak pengurusan hotel dan ILA yang menguruskan PUS ini bersikap profesional dalam menangani kerenah PUS ini.

"Kami cuba bertoleransi dan memenuhi segala kemahuan mereka asalkan ia tidak bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) serta arahan ditetapkan kerajaan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 terutama membabitkan kes import," katanya.

Media sebelum ini pernah melaporkan tindak-tanduk kluster kayangan yang bertindak angkuh dan membuat pelbagai permintaan tidak munasabah termasuk meminta ditukarkan bilik hotel di Putrajaya kepada bilik mempunyai pemandangan lebih cantik.

Malah di Sarawak, seorang lelaki yang menjalani kuarantin wajib di sebuah hotel di Kuching, Sarawak mencetuskan panik apabila membakar botol cecair pembasmi kuman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 7:01 AM