Mohd Jamilul Anbia Md Denin


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Pengarah Jabatan Penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi membantu siasatan berhubung kes melindungi premis perniagaan haram dan pusat perjudian.

Penahanan ke atas Pengarah MBSA berusia 59 tahun ini dilakukan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi tadi.

Beliau akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Ahmad Khusairi Yahaya yang dihubungi mengesahkan tangkapan ini tetapi enggan mengulas lanjut.

Semalam tiga penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Cawangan Sungai Buloh ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan tidak berlesen termasuk pusat perjudian di sekitar Sungai Buloh.

Semua yang ditahan berusia di antara 40 hingga 43 tahun.

Mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, kira-kira 2 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan.

Selasa lalu empat pegawai MBSA turut ditahan SPRM sebelum ditahan reman selama tujuh hari.

Berita berkaitan

Tiga penguat kuasa MBSA ditahan

Wang pelincir makan bulan

4 penguat kuasa MBSA, penjual rokok seludup direman seminggu [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 3:07 PM