YUSOF Kelana telah pergi buat selamanya.
YUSOF Kelana telah pergi buat selamanya.
Najiy Jefri


PENGARAH filem Tragedi Oktober, Yusof Kelana meninggal dunia di kediamannya di Taman Melawati, Hulu Klang jam 9.30 pagi, hari ini.

Isterinya Allahyarham, Nur Maynah ketika dihubungi berkata, suaminya menghembuskan nafas terakhir ketika dia dan anak-anak sedang membacakan surah Yasin.

"Arwah berada dalam keadaan sedar, cuma dia diam dan tak bergerak sebelum meninggal dunia. Saya panggil anak-anak untuk membaca Yasin. Saya juga sempat bisik ke telinganya dengan menyebut kalimah Lailahaillallah," katanya.

Menurut Maynah, keadaan suaminya itu berada dalam keadaan baik tetapi tiba-tiba lemah hari ini.

"Kelmarin dia okey saja. Arwah tidak menunjukkan perubahan yang ketara, mungkin sudah tiba ajalnya.

"Arwah dijangka dikebumikan selepas solat Asar hari ini, namun belum dipastikan lokasi pengebumian. Tetapi kalau boleh saya ingin arwah dikebumikan di tanah perkuburan yang berhampiran dengan rumah," katanya.

Sebelum ini, Yusof, 66, yang disahkan menghidap kanser kulit tahap empat dikhabarkan berada dalam keadaan tenat di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

Yusof yang disahkan menghidap kanser pada Julai lalu, mulanya menyangka luka pada tapak kakinya hanya kecederaan biasa.

Selepas mengalami sakit dada dan terjatuh di rumah, barulah pengarah filem Bahaya Cinta dan Bidong: The Boat People itu dibawa ke hospital biarpun berulang kali diajak anaknya.

Disebabkan tidak mempunyai sejarah penyakit kencing manis, pihak hospital bertindak melakukan ujian Computed Tomography atau CT Scan dan menemui sel kanser yang sudah berada pada tahap empat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 11:52 AM