Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Volvo yang memandu lawan arus di Jalan Klang Lama, di sini, didapati positif dadah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan selepas hadir ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar, hari ini.

"Polis menerima maklumat mengenai video kemalangan yang tular di media sosial pada 8.32 pagi tadi.

"Polis menjalankan siasatan dan menghubungi kedua-dua pemandu kenderaan itu supaya tampil memberi keterangan. Kedua-duanya hadir pada 11.30 pagi dan 12 tengah hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkefly berkata, ujian saringan air kencing ke atas pemandu Volvo mendapati lelaki itu positif dadah.

"Berikutan itu, kita menahan suspek untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Katanya, pihaknya akan merujuk kes kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang wanita berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaikinya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipercayai dipandu pemandu mabuk.

Video berdurasi seminit itu memaparkan kereta jenis perodua Myvi dirempuh SUV jenis Volvo dari arah depan dan berada dalam keadaan melintang arus.

Orang ramai yang berada di lokasi kejadian bertindak membantu wanita terbabit dengan memintanya keluar dari kenderaan manakala pemandu Volvo itu hanya berada di dalam kereta.

Berita berkaitan

Kau dah kenapa?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 8:01 PM