Redzuan Muharam


Rawang: Tidak hanya menjaga isteri lumpuh separuh badan dan menghidap penyakit buah pinggang, malah Mohd Zaidi Mat Rejab juga menguruskan anak istimewanya, Muhammad Daniel Iskandar, 2, yang dilahirkan dengan otak kiri saja.

Selain itu, Mohd Zaidi, 40, perlu mengambil alih tugas memasak dan mencuci pakaian selain menampung perbelanjaan sekolah Muhammad Mikael Zaiful,10, iaitu anak sulung hasil perkahwinannya terdahulu.

Begitu rutin harian Mohd Zaidi sejak tiga tahun lalu selepas kesihatan isterinya, Nurylzaini Herzahani, 30, merosot disebabkan penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Demi menyara keluarga, Mohd Zaidi yang bekerja sebagai mekanik menjadikan bengkel sewanya sebagai tempat berteduh, namun pendapatan diperoleh tidak menentu.

Malah, ada kalanya tidak cukup untuk menjelaskan sewa bulanan RM500 sehingga terpaksa menebalkan muka untuk meminjam dengan rakan terdekat.

Selain itu, Mohd Zaidi pernah menjual besi terpakai untuk menampung perbelanjaan keluarga selain menjual aset seperti kereta dan barangan peribadi bagi menjelaskan bil hospital.

"Saya pernah berkahwin sebelum ini, tetapi perkahwinan itu hanya bertahan selama empat tahun. Selepas berpisah, saya mendapat hak jagaan terhadap salah seorang anak (Muhammad Mikael).

"Empat tahun saya menduda sebelum bertemu dengan isteri dan selepas setahun berkenalan, kami sepakat mendirikan rumah tangga.

"Sebelum berkahwin, saya sudah tahu isteri menghidap darah tinggi serta kencing manis, dan kami terima satu sama lain seadanya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Seksyen BB9, Bukit Beruntung, di sini, hari ini.

ZAIDI turut menjaga dua orang anak termasuk seorang OKU.
ZAIDI turut menjaga dua orang anak termasuk seorang OKU.

Menurut Mohd Zaidi, tiga bulan selepas berkahwin, isterinya disahkan hamil, tetapi kegembiraan mereka hanya bertahan untuk seketika.

Katanya, isterinya ditahan di wad Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan kerana komplikasi ketika hamil lima bulan akibat darah tinggi dan kencing manis sehingga melahirkan Muhammad Daniel.

"Ketika itu, saya masih bekerja tetapi hanya untuk mendapatkan duit bagi membeli makanan, bukan sepenuh hati kerana sibuk menguruskan isteri di hospital.

"Ikutkan, lelaki tidak dibenarkan berada di wad itu, tetapi doktor beri kebenaran bermalam kerana kesulitan dihadapi isteri saya yang tidak boleh bergerak.

"Malah, selepas isteri melahirkan anak, saya masih perlu berulang-alik ke hospital kerana Muhammad Daniel diletakkan dalam inkubator akibat dilahirkan pra matang ketika kandungan berusia tujuh bulan," katanya.

Meskipun menggalas tanggungjawab berat, Mohd Zaidi akur dan menerima ujian diberi kepadanya dengan reda.

ZAIDI menjaga isterinya yang menghidap masalah jantung dan sakit buah pinggang. FOTO HALIMA SAADIAH
ZAIDI menjaga isterinya yang menghidap masalah jantung dan sakit buah pinggang. FOTO HALIMA SAADIAH

"Saya sudah biasa melakukan kerja rumah, jadi tugasan itu bukan satu masalah, cuma cabaran yang perlu dihadapi daripada segi kewangan kerana isteri perlu menjalani rawatan dialisis bermula 17 Ogos lalu.

"Jadi, saya perlu membawanya ke pusat dialisis sebanyak tiga kali dalam seminggu dan kos rawatan perlu dijelaskan sendiri dengan anggaran RM3,000 sebulan.

"Buat masa ini, saya jelaskan kos itu dengan duit sumbangan orang ramai, tetapi dalam proses untuk memohon bantuan daripada agensi berkaitan dengan harapan ia dapat meringankan beban," katanya.

Sementara itu, Nurylzaini berkata, dia bersyukur kerana dikurniakan suami yang bertanggungjawab dan sanggup berkorban segalanya demi keluarga.

"Saya bersyukur kerana dijodohkan dengannya malah sekalipun, dia tidak pernah mengeluh walaupun beban ditanggungnya cukup besar.

"Ada kalanya, saya rasa sudah banyak membebankannya kerana tidak boleh membantu menjaga anak dan menguruskan rumah.

"Jauh di sudut hati, saya mahu sembuh dan berjalan semula seperti dulu supaya dapat menjalankan tanggungjawab sebagai isteri," katanya

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd Zaidi di talian 012-6294139.

KELUARGA Zaidi tinggal di bengkel motorsikal.
KELUARGA Zaidi tinggal di bengkel motorsikal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 5:13 PM