MASJIDILHARAM.
MASJIDILHARAM.
AFP

Riyadh: Arab Saudi akan membenarkan pelaksanaan ibadah umrah sepanjang tahun secara berperingkat mulai 4 Oktober ini.

Ia diputuskan oleh Kementerian Dalam Negerinya selepas ibadah itu ditangguhkan selama tujuh bulan berikutan pandemik Covid-19.

"Bagi peringkat pertama, sebanyak 6,000 orang rakyat dan penduduk Arab Saudi dibenarkan untuk menunaikan umrah setiap hari mulai 4 Oktober,' kata kementerian itu dalam satu kenyataan rasmi menerusi agensi berita rasmi, Saudi Press Agency.

Bagi pengunjung dari luar negara, ia dibenarkan mulai 1 November apabila bilangan individu yang dibenarkan menunaikan umrah dinaikkan kepada 20,000 sehari, kata kementerian itu.

Menurut kementerian itu, umrah akan dibenarkan pada kapasiti penuh apabila ancaman pandemik Covid-19 dapat dihapuskan.

Sebelum ini, Arab Saudi menangguhkan ibadah umrah pada Mac dan mengurangkan bilangan jemaah haji secara drastik pada tahun ini bagi mengekang penularan virus berkenaan.

Keputusan untuk membenarkan pelaksanaan umrah adalah sebagai maklum balas terhadap 'aspirasi umat Islam di negara ini dan di seluruh dunia' untuk mengerjakan ibadah itu dan menziarahi tempat suci itu, kata kementerian itu lagi.

Arab Saudi yang menjadi penjaga kepada dua kota suci, Makkah dan Madinah dan ia dilihat sebagai sumber kepada keabsahan politiknya.

Kota suci itu yang menarik kunjungan jutaan umat Islam setiap tahun juga adalah sumber ekonomi utamanya.

Putera Mahkota Mohammed Salman menerusi Wawasan 2030nya bagaimanapun berharap dapat mentransformasi ekonomi negara itu daripada kebergantungan ekonomi terhadap eksport minyak utama dunia kepada sumber lain, termasuk pelancongan agama.

Kerajaan berharap dapat menerima kunjungan 30 juta jemaah ke negara itu, setiap tahun, menjelang 2030.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 8:28 AM