FOTO AFP
FOTO AFP
Agensi

Paris: Seorang guru tadika di Essonne, Perancis berisiko dibuang kerja selepas ramai ibu bapa mengadu penampilannya yang disifatkan tidak bersesuaian sebagai pengajar di sekolah.

Ia memandangkan Sylvain Helaine atau dikenali sebagai Freaky Hoody, 35, itu bertatu pada sebahagian besar tubuhnya, muka dan bola mata.

Sylvain ketika tampil di saluran televisyen Perancis BFM TV mengadu bahawa dia mungkin kehilangan pekerjaan berdasarkan penampilannya itu.

Dia mendakwa pihak atasannya meminta untuk dia tidak lagi mengajar di tadika selepas menerima aduan daripada ibu bapa atas penampilannya yang tidak seperti guru lain.

FOTO AFP
FOTO AFP

Bagaimanapun, katanya, sebahagian besar aduan datang daripada ibu bapa yang anak mereka tidak belajar di kelasnya.

"Penampilan saya menjadi masalah kepada sesetengah orang. Ia (bilangan ibu bapa yang mengadu) tidak ramai, dengan nisbah satu dalam 1,000 ibu bapa. Mereka terdiri daripada ibu bapa yang anaknya bukan belajar di kelas saya.

"(Tetapi) dengan ibu bapa kepada anak yang belajar di kelas saya, semuanya berjalan lancar," katanya seperti dilaporkan Oddity Central.

Guru berkenaan mengatakan bahawa dia tidak lagi dibenarkan mengajar di tadika kerana wakil Kementerian Pelajaran tidak mahu lagi menangani aduan ibu bapa.

Mengulas lanjut, Sylvain berkata, keadaannya yang bertatu tidak mempengaruhi kemampuannya untuk mengajar.

FOTO AFP
FOTO AFP

Sementara itu, beberapa anak muridnya mengakui pada mulanya mereka mendapati penampilannya kelihatan menakutkan.

"Bola matanya yang bertatu menakutkan saya pada mula-mulanya. Tetapi ibu bapa saya mendorong supaya saya tidak merasa takut dan sekarang saya tidak takut lagi.

"Dia sudah hampir menjadi guru kegemaran saya," kata seorang anak murid perempuannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 6:31 AM