GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas pemandu bas dipenjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki menggunakan kapak.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Dahreen Yunus, 32, menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama prosiding membela dirinya.

Mahkamah memerintahkan Mohd Dahreen menjalani hukuman terbabit di Penjara Kajang bermula dari tarikh tangkap pada 24 Ogos 2018.

Mohd Dahreen didakwa menyebabkan kematian S Yesuva Devan, 22, di tepi jalan Taman Bukit Anggerik di sini, antara jam 11 pagi dan 12 tengah hari, 23 Ogos 2018 mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Azi Azlin Zulkifli memohon hukuman minimum dengan alasan itu adalah kesalahan pertama anak guamnya dan kematian mangsa bukan kematian yang sudah dirancang tertuduh serta dilakukan secara kejam.

"Kecederaan yang dialami mangsa juga menurut forensik tidak fatal dan boleh dirawat yang dalam kes ini tertuduh sudah membantu merawat mangsa.

"Kecederaan juga hanya membabitkan satu tetakan sahaja dan bukan berkali-kali serta bukan pada kepala atau organ vital seperti kebanyakan kes.

"Tertuduh mempunyai dua anak masih kecil, isterinya tidak bekerja serta ibu bapa tertuduh menghidap angin ahmar dan buah pinggang," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi memohon hukuman yang dapat memberi kesan pencegahan dengan alasan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah kesalahan serius.

"Kesalahan ini tidak boleh dipandang rendah, seramai 14 saksi pendakwaan sudah memberikan keterangan di mahkamah.

"Niat jahat tertuduh jelas kelihatan apabila mendatangkan kecederaan dengan menggunakan kapak," katanya.

Sebelum ini, tertuduh didakwa dan dibicarakan atas pertuduhan membunuh mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, pada 25 September lalu, mahkamah memerintahkan lelaki itu membela diri atas pertuduhan menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 6:35 AM