Tempat kejadian di mana seorang lelaki maut akibat direnjat elektrik ketika sedang mengait buah kelapa. FOTO MELVIN JONI
Tempat kejadian di mana seorang lelaki maut akibat direnjat elektrik ketika sedang mengait buah kelapa. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni

Miri: Seorang lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa di Kampung Pujut Padang Kerbau di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, mangsa, Syamsul Mohamad Yashin, 34, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sekitar jam 12 tengah hari, kelmarin.

Katanya, ketika kejadian, mangsa dan dua rakan dikatakan sedang mengait buah kelapa menggunakan galah yang diperbuat daripada aloi sepanjang lebih 15 meter.

"Terdapat satu talian bekalan elektrik berkuasa tinggi dengan tiga kabel yang tidak bersalut dan jarak antara kabel dengan pokok kelapa itu lebih kurang 10 hingga 13 meter," katanya, semalam.

Mohd Sabri berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Selain itu, beliau berkata, seorang daripada rakan mangsa turut pengsan akibat terkena renjatan elektrik itu manakala seorang lagi selamat.

"Mangsa yang pengsan masih dirawat di wad unit rawatan rapi (ICU) dan belum sedarkan diri," katanya.

Difahamkan, mangsa sering membeli buah kelapa daripada pekebun di kawasan berkenaan secara borong dan seterusnya mengait sendiri untuk dipasarkan di bandar Miri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 9:00 AM