SHUIB dan Siti Sarah. FOTO arkib NSTP
SHUIB dan Siti Sarah. FOTO arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Syarikat rakaman dan pengurusan Indigital Music memaklumkan artis mereka, Siti Sarah Raissuddin hanya menemani suaminya, Shuib Sepahtu ketika pelawak itu hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, awal pagi hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Indigital Music selepas tersebar berita mengatakan pasangan selebriti itu dipanggil untuk membantu siasatan berhubung pengubahan wang haram.

"Untuk makluman hanya keterangan Shuib saja yang diambil SPRM manakala Sarah hanya menemani suaminya saja.

"Buat masa ini pihak kami tidak dapat mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkenaan perkara itu untuk tidak mengganggu siasatan SPRM bagi menghormati sistem perundangan negara kita," katanya.

Pihak Indigital Music juga memaklumkan bahawa kerjasama sepenuhnya diberikan kepada pihak SPRM untuk membantu siasatan.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan kenyataan daripada Sarah dan Shuib tidak berjaya apabila talian telefon mereka dimatikan.

MyMetro melaporkan pasangan selebriti itu dipanggil SPRM bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan kes pengubahan wang haram.

Difahamkan, pasangan berkenaan masing-masing berusia 36 tahun hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya sejak 4 pagi hari ini.

Difahamkan, terdapat beberapa individu termasuk seorang usahawan terkenal turut dipanggil memberi keterangan.

Berita berkaitan

Pasangan suami isteri selebriti bantu siasatan pengubahan wang haram

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 11:05 PM