ALI Gatieteruskan misi hasilkarya lebih baik pastikan karier terus berkembang.  FOTO: Warner Music Malaysia
ALI Gatieteruskan misi hasilkarya lebih baik pastikan karier terus berkembang. FOTO: Warner Music Malaysia
Georgie Joseph

GEMERSIK suaranya berlagu menerusi karya hit It's You serta-merta menangkap perhatian peminat terhadap Ali Gatie.

Penyanyi dari Kanada itu pantas menjadi sebutan terutama sejak awal tahun ini berikutan populariti lagu berkenaan.

Ali, 23, tidak disangkal antara pendatang baharu yang memiliki potensi besar bersinar kukuh dalam industri muzik antarabangsa.

Hakikatnya, corak dan hala tuju karya yang dihasilkan begitu relevan serta segar.

Bagaimanapun, dia bimbang sekiranya dia cuma mampu bertahan sebagai bintang semusim sahaja. Justeru, sekarang misinya adalah untuk memastikan perjalanan kariernya terus berkembang.

"Sebagai pengkarya, saya tidak pernah boleh mengagak jika pendengar suka atau tidak kepada apa yang saya hasilkan. Perkara itu terlalu subjektif untuk dinilai dan mustahil untuk mendapatkan ketetapan tertentu mengenainya.

"Saya bersyukur apabila lagu It's You berjaya memperkenalkan nama saya di seluruh dunia. Jumlah capaiannya bertambah dan bertambah kepada jutaan selepas baharu dilancarkan tidak lama dulu.

"Bagaimanapun, saya tidak menafikan risau jika hanya satu lagu itu sahaja akan berjaya pergi jauh. Disebabkan itu, saya mahu terus mencipta karya yang sebaiknya boleh mengatasi pencapaian lagu itu," katanya.

ALI mahu terus menjaga momentum namanya.  FOTO: Warner Music Malaysia
ALI mahu terus menjaga momentum namanya. FOTO: Warner Music Malaysia

Secara dasarnya, lagu terbabit benar-benar berjaya menaikkan namanya disebabkan melodinya serta liriknya secara keseluruhan sangat bagus.

Kiranya, ia adalah lagu penanda aras sebagus mana lagi lagunya boleh pergi selepas ini.

Berkongsi hal itu, Ali tidak mahu meletakkan sebarang beban pada dirinya untuk menjadikan lagu terbabit sebagai perbandingan.

Menurutnya, terlalu memikirkan perbandingan itu hanya akan menjadi tekanan buat dirinya.

"Bagi saya, biarlah kejayaan lagu itu sendiri menjadi miliknya sendiri. Hakikatnya, saya akan kena berterusan mencipta lagu baharu juga. Matlamat saya pun masih sama, tampil dengan lagu yang lebih bagus.

"Namun, saya tidak mahu terlalu menekan diri menganggap It's You sebagai penanda aras. Saya akui lagu itu ada tuahnya sendiri dan yakin lagu lain juga mampu mencipta pencapaian berbeza masing-masing," katanya.

Bercakap mengenai kebimbangan menjadi bintang semusim pula, Ali ada sebab untuk timbul perasaan itu selepas dunia diserang pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.

Ketika itu, dia antara artis yang rancak mempromosikan permulaan kariernya.

Bagaimanapun, dia terpaksa reda dengan ketentuan itu dan terpaksa menunda segala aktiviti promosinya. Meskipun sangat terkilan, dia percaya ada hikmah lebih indah menantinya selepas ini.

"Saya berada di Kuala Lumpur ketika itu dan mengadakan siri jelajah saya yang pertama. Tidak disangka, itulah persembahan terakhir saya sebelum perintah kawalan pergerakan dikuat kuasa sehingga sekarang.

"Saya cuma risau momentum perhatian sedikit lari terhadap saya namun itulah, semua ini di luar jangkaan kita. Mujur, saya turut aktif di TikTok dan berjaya mencuri perhatian peminat untuk terus mengikuti aktiviti harian saya," katanya.

LAGU Welcome Back pertaruhan baharu bersama Alessia Cara.  FOTO: Warner Music Malaysia
LAGU Welcome Back pertaruhan baharu bersama Alessia Cara. FOTO: Warner Music Malaysia

Seronok bekerjasama dengan Alessia Cara

Tampil dengan lagu terbaharu berjudul Welcome Back, Ali turut memutuskan untuk melamar penyanyi senegara, Alessia Cara untuk berduet.

Menurutnya, dia memang sudah sukakan kualiti muzikal dalam diri penyanyi Scars To Your Beautiful itu.

"Banyak faktor yang membuatkan saya mahu dia terbabit dalam lagu ini. Sudah mengikuti kariernya sekian lama, saya sangat kagum dengan kualiti seni dalam dirinya selain kehebatan Alessia menulis lirik hebat.

"Oleh itu, saya memang sangat teruja apabila dapat bekerja dengannya menerusi lagu ini memandangkan dia calon paling sempurna. Bekerja dengannya memberikan saya banyak perspektif baharu dan tentu sekali puas hati terhadap hasilnya," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Ali menyifatkan ia karya yang sangat sarat dengan mesej penting mengenai kehidupan sejagat sekarang. Bahkan, ia juga bersangkutan dengan situasi sukar yang seluruh dunia hadapi sekarang.

"Boleh dikatakan lagu ini boleh dikaitkan dengan apa yang berlaku sekarang. Bagaimana kita mahu kembali dengan semangat baharu dan bangkit daripada segala dugaan yang mungkin berlaku sepanjang tempoh pandemik ini.

"Tapi, mesej asal yang saya nak sampaikan adalah bagaimana kita mahu refleksi diri daripada kesilapan lampau. Lagu ini sesuai untuk mereka yang ingin kembali sebagai orang baharu dalam diri dan jadi lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 6:00 AM