Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Empat hari berturut Malaysia merekodkan kes baharu Covid-19 melebihi angka 800 apabila 862 kes direkodkan sehingga jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan kes positif direkodkan di negara ini sebanyak 22,225 kes.

Menurutnya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 7,681 kes dan pesakit sudah diasingkan dan diberi rawatan selanjutnya.

"Sabah masih mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 673 kes dengan 235 kes direkodkan daripada Kluster Penjara Kepayan dan Kluster Tembok.

"Selangor pula terus mencatatkan pertambahan kes dan kluster dengan 132 kes baharu dengan 84 kes adalah daripada kluster sedia ada dan lapan kes yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah," katanya dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 95 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, terdapat tiga kematian hari ini seperti dilaporkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

"Tiga kematian membabitkan warga tempatan masing-masing lelaki berusia 78 tahun dan wanita berusia 59 tahun di Hospital Tawau manakala wanita berusia 90 tahun di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.

"Mereka yang meninggal dunia memiliki sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, komplikasi buah pinggang kronik dan dislipidemia" katanya.

Tambahnya, Malaysia mencatatkan kes pulih sebanyak 634 kes dan menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 14,351 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 6:33 PM