GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 10 artis dan selebriti lagi dalam senarai terbaru akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram membabitkan kumpulan cuci duit haram dan perjudian dalam talian.

Sumber berkata, semua artis terbabit akan diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan.

"Mereka termasuk dua artis wanita dan lelaki yang juga pengacara dan pelakon terkenal.

"Ramai lagi akan dipanggil kerana mereka diperlukan untuk membantu siasatan penipuan Macau Scam dan judi dalam talian," katanya.

Menurutnya, semalam SPRM memanggil sembilan lagi individu termasuk dua lelaki yang juga Instafamous selepas hampir dua minggu tempoh diberikan agensi itu untuk tampil memberikan keterangan secara sukarela.

"Semua mereka yang berusia antara 25 hingga 32 tahun itu dirakam percakapan pada 3 petang semalam. Mereka adalah rakan kepada isteri suspek utama.

"Ada yang hadir di pejabat SPRM, ada yang diambil keterangan di luar," katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki meminta semua selebriti dan ahli perniagaan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram supaya tampil membantu siasatan.

Menurutnya, arahan itu bagi mengelakkan SPRM menahan mereka yang berkenaan dalam masa terdekat.

"Tidak kira selebriti atau siapapun dan mana-mana pihak yang pernah menerima (dana sindiket) daripada individu yang ditahan SPRM, mereka diminta tampil sebelum kami panggil," katanya.

Pada awal Oktober lalu, beberapa selebriti termasuk pelawak dan penyampai radio terkenal dipanggil agensi berkenaan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 12:58 PM