MANGSA maut selepas terjun dari tingkat 8 HQE I. FOTO Juwan Riduan
MANGSA maut selepas terjun dari tingkat 8 HQE I. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seorang wanita yang sebelum ini disahkan positif Covid-19 ditemui mati dipercayai terjun dari tingkat lapan bangunan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, wanita warga tempatan berusia 63 tahun itu dikatakan terjun dari tingkap di tingkat lapan bangunan hospital berkenaan sebelum disedari pihak hospital yang kemudiannya memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 9.30 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dimasukkan ke hospital berkenaan pada 13 Oktober lalu selepas disahkan positif Covid-19.

Katanya, selepas mendapatkan rawatan lanjut, mangsa disahkan bebas penyakit berkenaan dan dijadualkan untuk dikeluarkan dari HQE I, hari ini.

"Mayat mangsa kini ditempatkan di Jabatan Forensik HQE I, sementara menunggu siasatan lanjut punca mangsa membunuh diri.

"Pihak polis sedang menjalankan siasat bagi mengenalpasti punca mangsa terjun termasuk mencari saksi ditempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung mangsa diminta tampil membantu siasatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 9:17 AM