Siti Rohana Idris


Tumpat: "Umi ada berpesan agar saya jaga diri dengan baik dan kami sama-sama menangis ketika itu kerana umi memang sudah berasakan hayatnya tidak lama," kata Nor Syafira Mohd Razali.

Kanak-kanak berusia 11 tahun itu kini hidup sebatang kara apabila ibunya, Norhayati Che Noh, 45, yang menderita penyakit darah tinggi, kencing manis kronik dan buah pinggang meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, malam tadi.

Kisah Nor Syafira yang menjaga ibunya yang sakit sehingga menyebabkannya terpaksa 'ponteng' sekolah sepanjang tahun ini pernah dipaparkan dalam akhbar sebelum ini dan mengundang hiba ramai pihak.

Nor Syafira berkata, sebelum dimasukkan ke HRPZ II, ibunya mendapatkan rawatan di Hospital Tumpat selama seminggu dan sepanjang tempoh itu dia sentiasa berada di sisi arwah.

"Umi meminta kebenaran doktor untuk pulang kerana rindukan rumah kami dan ketika berada di rumah lah dia sempat menitipkan pesanan itu dan kami sama-sama menangis.

"Keesokan harinya keadaan umi kembali kritikal sebelum segera dirujuk ke HRPZ II dan selepas 10 hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), umi menghembuskan nafas terakhir malam tadi kira-kira 7.40 malam," katanya dalam nada sebak.

NorSyafira ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dalam Rhu di sini selepas mengiringi jenazah ibunya ke Tanah Perkuburan Islam Kubur Dato' berkata, dia buntu dan masih belum membuat keputusan ingin menetap bersama siapa.

Dia yang juga murid Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat 1 berkata, ada beberapa pihak yang sudi menjemputnya tinggal bersama namun rasa sayang terhadap rumah yang didiami bersama arwah ibu membuatkannya berat kerana tidak sanggup melupakan segala kenangan bersama.

"Saya sayangkan rumah ini kerana ia baru sahaja dibaiki dan banyak kenangan bersama umi disebabkan umi yang membesarkan saya berseorangan selepas bercerai dengan ayah 11 tahun lalu.

"Selain terlalu rindukan umi, hati saya juga meronta untuk kembali bersekolah kerana sudah hampir setahun meninggalkan alam persekolahan," kata anak tunggal itu.

Sementara itu wakil kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed berkata, Nor Syafira akan diletakkan di bawah jagaan pihaknya kerana selama hayat arwah Norhayati, segala kebajikan dua beranak itu di bawah tanggungjawab mereka.

"Kami akan menguruskan proses penjagaan Nor Syafira dan membuat pertukaran sekolah dengan mencari sekolah harian yang mempunyai asrama.

"Kami juga akan sentiasa memantau perkembangan Nor Syafira sehingga dia menamatkan pengajian dan mampu berdikari suatu hari nanti," katanya.

NOR Syafira menziarah kubur arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kubur Datu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NOR Syafira menziarah kubur arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kubur Datu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Berita berkaitan:

  • Murid 'ponteng' sekolah jaga ibu [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 12:59 PM