MOHON rakan artis gunakan peminat untuk jana pendapatan bantu golongan memerlukan.
MOHON rakan artis gunakan peminat untuk jana pendapatan bantu golongan memerlukan.
Syafil Syazwan Jefri

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan memberi kesan besar dalam kehidupan bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Dari sudut positif, ia diperlukan untuk memastikan keselamatan semua pihak yang berada dalam zon bahaya bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Tidak dinafikan bahawa PKPB memberi kesan buat individu yang baru sahaja 'bangkit' selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan bagi mereka yang bergantung kepada pendapatan harian.

Penyanyi dan pelakon, Amira Othman berkongsi mengenai mesej yang di Instagramnya dan bagaimana ramai yang terkesan dan kini memerlukan bantuan.

"Ini kali kedua situasi ini melanda masyarakat terutamanya yang berada di kawasan yang dikenakan PKPB. Mungkin ada hikmah yang kita tak tahu, tapi pada masa sama saya akui, timbul rasa simpati kepada masyarakat.

"Ramai yang rasa tertekan. Saya pun mula-mula tertekan juga apabila PKPB diumumkan sebab banyak perkara perlu disusun semula," katanya.

Melihat sendiri bukti betapa terkesannya masyarakat apabila dunia dilanda krisis ini, Amira berkata dia menerima pelbagai mesej daripada orang ramai yang meminta sumbangan.

"Banyak DM (mesej peribadi) yang saya terima di Instagram daripada mereka yang memerlukan bantuan. Ada yang berkongsi kisah hidup mereka, ada yang anaknya sakit dan ada juga yang suami hilang pekerjaan.

AMIRA turut simpati dengan nasib masyarakat.
AMIRA turut simpati dengan nasib masyarakat.

"Ada yang meminta sedikit sumbangan dalam bentuk wang dan sebagainya. Dari situ pun saya dah boleh nampak impak Covid-19 ini," katanya.

Tambah Amira, mustahil untuknya bertemu setiap individu yang meminta bantuan itu.

"Saya cuba bantu sedaya mungkin sebab mustahil untuk saya berpeluang bertemu mereka dalam keadaan sekarang. Jadi, dapat baca mesej-mesej mereka sudah buat saya mula faham ramai dah tak cukup duit. Secara tak langsung, semua itu menjadikan saya manusia yang lebih bersyukur," katanya.

Tidak mahu terlalu bergantung dengan satu kerja, Amira mengajak rakan artis supaya sentiasa mencari alternatif untuk menambah rezeki.

"Rezeki datang dalam pelbagai bentuk. Apa yang penting, kita kena rajin cari alternatif dan berusaha.

"Kalau artis yang ada ramai peminat dan pengikut, gunakan platform yang ada contohnya media sosial sebaik mungkin untuk mencari rezeki dan bantu mereka yang memerlukan," katanya.

Berkongsi mengenai karier seninya, Amira kini kembali sibuk dengan beberapa penggambaran untuk tayangan di laman penstriman patuh syariah, Nurflix.

"Alhamdulillah, ada beberapa projek yang akan berjalan antaranya, penggambaran untuk drama bersiri ICU dan juga The Khadijahs. Kedua-duanya adalah projek khas untuk Nurflix.

"Kebanyakan penggambaran akan berjalan seperti biasa. Bezanya, kita perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Selain itu, Amira juga bakal melancarakan single terbarunya selepas sekian lama tidak muncul dengan karya baru.

"Sekarang, saya dalam proses akhir untuk mengeluarkan single baru. Kalau diikutkan perancangan, ia sepatutnya dilancarkan semalam, 23 Oktober.

"Namun, disebabkan pelbagai kekangan, ia terpaksa ditunda lagi dan saya sendiri tak sabar menantikan kehadiran single ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 7:00 AM