NAZIM raih kemenangan di Donington Park.
NAZIM raih kemenangan di Donington Park.
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perjalanan masih jauh, namun jika mampu mengekalkan prestasi cemerlang, tidak mustahil pelumba Formula 3 (F3) negara, Nazim Azman mampu menempah slot dalam arena Formula 1 (F1).

Itu reaksi legenda sukan permotoran empat roda negara, Alex Yoong terhadap Nazim selepas menunjukkan prestasi membanggakan pada musim ini dengan meraih kemenangan kedua di Donington Park, kelmarin.

Alex berkata, walaupun dilihat agak mustahil untuk meraih slot dalam F1, peluang terbabit tetap ada terutama kepada pelumba yang sentiasa mampu mengekalkan rentak kemenangan pada setiap perlumbaan.

Beliau yang masih kekal menjadi satu-satunya pemandu negara yang beraksi di F1 berkata, cabaran untuk ke peringkat seterusnya dalam sukan terbabit sememangnya agak sukar terutama perlu bersaing dengan pelumba yang lebih berpengalaman.

"Nazim seorang pelumba yang bagus dan saya sentiasa mengikuti perkembangannya yang banyak mencipta kejutan dalam perlumbaan F3.

"Perjalanannya masih jauh untuk meraih tempat di F1 namun dia adalah aset dalam sukan berkenaan sekali gus tidak mustahil komitmen yang ditunjukkan ada peluang cerah dalam kariernya sebagai pelumba," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum itu, pada perlumbaan di Donington Park, Nazim yang beraksi bersama pasukan Carlin, mengatasi pelumba pasukan Double R's, Benjamin Pedersen manakala Ulysse De Pauw meraih podium ketiga bersama Douglas Motorsport.

Nazim bermula baik apabila apabila cemerlang mencatat masa terpantas untuk menjarakkan kedudukan dengan pelumba lain.

Selepas 21 perlumbaan, Nazim kini menduduki tangga kelima kedudukan keseluruhan pelumba dengan mengumpul 331 mata, kurang 89 mata berbanding pendahulu, Kaylen Frederick (Carlin) yang mengumpul 420 mata.

Saingan seterusnya dan terakhir akan berlangsung di Silverstone pada 7 dan 8 November depan yang membabitkan tiga perlumbaan.

British F3 adalah sebahagian saingan peringkat awal untuk menuju ke pentas F1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 6:45 AM