SUSPEK utama kes pengubahan wang haram dikenali sebagai Goh Leong Yeong, berusia 32 tahun yang melarikan diri, Ahad lalu. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK utama kes pengubahan wang haram dikenali sebagai Goh Leong Yeong, berusia 32 tahun yang melarikan diri, Ahad lalu. FOTO Ihsan PDRM
Oleh Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Goh Leong Yeong atau Alvin Goh, 32, yang dikehendaki pihak berkuasa sebagai suspek utama kes pengubahan wang haram dan judi dalam talian bersembunyi di sebuah pusat peranginan di Pahang dengan bantuan teman wanitanya yang juga warga China sebelum ditahan semalam.

Menyedari dirinya semakin hampir dikesan polis dan bimbang ditahan menyebabkan Alvin menyewa dua bilik di sebuah pusat peranginan berkenaan mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurut sumber, bilik kedua di tingkat 10 itu baru dipesan suspek sejak kelmarin bagi mengelak dikesan pihak berkuasa selepas melarikan diri selepas dibebaskan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 11 Oktober lalu.

Sumber berkata, selepas berasakan dia semakin terancam', Alvin menukar lokasi persembunyiannya di sebuah residensi lain di pusat peranginan itu seminggu kemudian.

"Pada mulanya Alvin dan teman wanitanya mendiami sebuah bilik di tingkat 23A namun semalam (kelmarin) memesan satu lagi bilik lain di tingkat 10 blok yang sama," katanya.

Suspek dan wanita berkenaan ditahan 1.30 pagi semalam sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, Alvin direman tiga hari bermula semalam selepas mendapat perintah dari mahkamah bagi membantu kes perjudian di Cheras.

"Wanita warga China yang dipercayai teman wanitanya pula akan dibebaskan selepas keterangannya diambil," katanya ketika dihubungi.

Nik Ros berkata, siasatan sedang dijalankan berhubung pembabitan dan kegiatan suspek dalam perjudian itu mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam pada itu, Sumber berkata, akaun bank dan syarikat milik Alvin dibekukan SPRM susulan disiasat berkaitan pengubahan wang haram.

Dalam perkembangan lain, katanya, SPRM kini mengumpul bukti kukuh sebelum memanggil individu termasuk artis yang disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram.

"Setakat ini belum ada individu baharu termasuk artis tampil dan SPRM hanya akan memanggil mereka dalam masa terdekat selepas bukti dikumpul dan cukup untuk menyiasat pembabitan mereka," katanya.

Pada 11 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan suspek dikatakan berjaya meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan SPRM dengan sebuah kenderaan yang menunggunya di luar pagar.

Difahamkan, ketika kejadian, lelaki itu bersama tiga lagi suspek terdiri daripada dalang utama serta dua anggota polis dalam proses diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan berhubung kegiatan judi dalam talian dan penipuan Macau Scam.

Sebelum ini anggota polis berpangkat koperal serta lelaki bergelar Datuk direman selama 21 hari bermula semalam sehingga 3 November depan bagi membantu siasatan kes perjudian atas talian di Cheras.

Baru-baru ini, SPRM membongkar kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal memulakan perniagaan.

Ia susulan tangkapan lima individu termasuk Datuk dan lelaki bergelar Datuk Seri palsu pada 3 Oktober lalu oleh SPRM selepas seorang selebriti terkenal dipanggil untuk dirakam percakapan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki mendedahkan, pihaknya menahan 20 individu termasuk lapan pegawai polis dan seorang warga China, selain akan membuat beberapa siri tangkapan lain.

SPRM juga membekukan kira-kira RM101 juta daripada 736 akaun bank dan menyita wang tunai RM5 juta serta merampas 23 kenderaan mewah pelbagai jenama serta motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli hasil daripada aktiviti judi dalam talian tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 7:00 AM