Mohd Firdaus Ibrahim dan Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Hanya 106 bekas pesakit Covid-19 berdaftar dengan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) berbanding 275 yang diperlukan bagi membantu kajian mengenai tindak balas antibodi neutralisasi dalam kalangan pesakit Covid-19 di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, laporan kajian yang dijalankan sebelum ini mendapati antibodi pesakit yang sudah pulih merosot dan hanya bertahan selama tiga bulan.

"Kajian ini pernah dilaksanakan di Sungai Lui dan kita dapati selepas tiga bulan antibodi bekas pesakit berkurang antara 18 hingga 20 peratus.

"Sekarang ini kita perlukan lebih ramai lagi bekas pesakit yang telah pulih untuk melaksanakan satu kajian bermakna dan ditafsirkan dengan baik," katanya dalam sidang media harian hari ini.

Foto hiasan
Foto hiasan

Menurutnya, pihaknya memerlukan 275 individu yang dijangkiti dan pulih sepenuhnya.

"Setakat ini baru ada 106 individu berdaftar dalam kajian ini, malah kita juga akan melakukan rawatan susulan kepada mereka untuk lihat perkembangan terkini.

"Disebabkan itu kita menggalakkan mereka untuk menyertai kajian ini supaya kita dapat lihat antibodi dalam badan itu sama ada berkekalan atau tidak," katanya.

Katanya, kajian itu amat penting berikutan banyak persoalan yang memerlukan jawapan diperlukan KKM mengenai pandemik baharu itu.

"Kita banyak persoalan (mengenai Covid-19) dan kajian ini yang akan berikan kita jawapan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 7:32 PM